
IPOH, 10 November – Polis Bantuan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, berjaya mengesan tindakan seorang warga Singapura cuba menyeludup keluar 19.04 kilogram dadah disyaki bunga ganja ketika pemeriksaan di kaunter daftar masuk.
- Suspek ditahan bersama barang kes dianggarkan bernilai RM1.52 juta dalam sebuah bagasi.
- Pemeriksaan lanjut menemui ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja.
- Suspek menerima tawaran pekerjaan menjanjikan upah SGD4,000 bagi membawa bagasi ke London.
- Ujian air kencing negatif, tiada rekod jenayah, suspek direman tujuh hari untuk siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Suspek ditahan bersama barang kes yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta yang diletakkan dalam sebuah bagasi, Ahad lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika mengesahkan kes berkenaan memaklumkan, suspek berusia 29 tahun dijadual menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir di London, England.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan terhadap suspek telah menemukan barang kes yang mengandungi ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Beliau turut memaklumkan, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan mendapati individu terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Siasatan lanjut mendapati, suspek mendapat ‘tawaran pekerjaan’ menerusi laman web yang menjanjikan bayaran upah SGD$4,000 bagi membawa bagasi yang didakwa mengandungi barangan
tiruan berjenama mewah ke London.
Modus operandi sindiket dipercayai memperdaya individu melalui tawaran pekerjaan dengan upah yang mahal dan memperalatkannya sebagai keldai dadah untuk membawa bekalan dadah ke luar negara menggunakan pesawat komersial.
Suspek direman tujuh hari bertujuan membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.