
KUALA LUMPUR, 10 November – Van perkhidmatan Rapid On Demand bagi zon T726B (Jalan Meru – Taman Eng Ann) mengalami kemalangan berhampiran Persimpangan Berkeley, Lebuhraya Persekutuan, pada kira-kira 5.05 pagi tadi.
- Van dipercayai hilang kawalan, melanggar pembahagi dan tiang lampu lalu terbalik.
- Pasukan bomba dan ambulans tiba, jalankan operasi menyelamat dan berikan bantuan kecemasan.
- Pemandu seorang mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal di lokasi.
- Kenderaan ditunda ke balai polis untuk siasatan, Rapid KL akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, insiden berlaku ketika van berkenaan dalam perjalanan menuju ke hab LRT di Jalan Meru.
“Semasa melalui persimpangan tersebut, van terbabit dipercayai telah hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan sebatang tiang lampu, menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik.
“Susulan kejadian itu, pasukan bomba dan ambulans telah tiba ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat serta memberikan bantuan kecemasan,” menurut kenyataan itu.
Pemandu van yang ketika itu berseorangan dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan awal di lokasi kejadian.
Sebuah kenderaan penunda turut telah tiba dilokasi kejadian bagi mengalihkan van yang terlibat ke Balai Polis Klang Utara untuk siasatan lanjut.
Rapid KL akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan bagi menentukan punca dan keadaan sebenar kejadian.