Seorang individu ditahan dipercayai terlibat cubaan curi kabel bumi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 November – Seorang individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel bumi di kawasan landasan Laluan Putrajaya dalam satu operasi risikan yang dijalankan pada 8 November lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori dikesan memasuki kawasan kira-kira pukul 11.57 malam dipercayai untuk mengangkut kabel yang telah dipotong.
  • Polis Bantuan menemui sejumlah kabel bumi berhampiran Bulk Supply Substation berdekatan Stesen Jinjang, dipercayai dipotong di lokasi lain sebelum ditinggalkan.
  • Suspek diserahkan kepada PDRM. Tangkapan kedua minggu ini, menunjukkan keberkesanan rondaan, pemantauan dan kawalan keselamatan Polis Bantuan.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, sebuah lori dikesan memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.57 malam dan dipercayai digunakan untuk mengangkut kabel yang telah dipotong.

“Semasa operasi dijalankan, pemandu lori berkenaan berjaya melarikan diri, namun seorang suspek berjaya ditahan oleh anggota Polis Bantuan di lokasi kejadian.

“Dalam rondaan susulan yang dijalankan pada 8 November 2026 kira-kira pukul 1.00 tengah hari, pasukan Polis Bantuan telah menemui sejumlah kabel bumi yang dipercayai cuba dicuri berhampiran sebuah Bulk Supply Substation (BSS) berdekatan Stesen Jinjang.

“Hasil pemeriksaan mendapati kabel tersebut telah dipotong di lokasi lain sebelum ditinggalkan di kawasan BSS berkenaan, dipercayai untuk diambil dan diangkut keluar kemudian,” menurut kenyataan itu.

Suspek diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut. Penahanan itu merupakan tangkapan kedua melibatkan kes cubaan mencuri kabel di kawasan operasi Rapid KL dalam tempoh seminggu.

Ia sekali gus membuktikan keberkesanan tindakan proaktif Polis Bantuan dan pasukan operasi dalam melindungi aset kritikal sistem rel serta memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada para pengguna.

Operasi berkenaan merupakan hasil tindakan susulan pasukan Polis Bantuan berikutan kejadian cubaan mencuri kabel bumi pada 7 November yang telah menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan tren Laluan Putrajaya.

Susulan kejadian itu, pasukan Polis Bantuan bersama pihak operasi Laluan Putrajaya telah mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan kawalan keselamatan di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko, termasuk sepanjang tempoh cuti sambutan Deepavali, bagi memastikan keselamatan infrastruktur rel serta kelancaran perkhidmatan kepada para pengguna.

Operasi pemantauan dan intipan turut dilakukan di kawasan sekitar, termasuk di sepanjang jajaran antara Stesen Jinjang dan Stesen Metro Prima, bagi mengesan pihak yang dipercayal terlibat dalam kegiatan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.