
DOHA, 9 November – Malaysia mengambil bahagian dalam usaha menetapkan hala tuju dasar komunikasi dan ketersambungan digital global bagi tempoh empat tahun akan datang menerusi penyertaan dalam Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), di sini, yang bermula hari ini.
- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil akan menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada sesi pleno pertama PP-26 di DECC.
- Persidangan menetapkan dasar serta kepimpinan ITU bagi tempoh 2027 hingga 2030.
- Malaysia berusaha mengekalkan keanggotaan Majlis ITU (48 negara) untuk penggal 2027 hingga 2030.
- Fahmi mengadakan pertemuan dua hala dengan Fiji, Costa Rica, Finland dan perbincangan dengan GSMA bagi peluang kerjasama industri mudah alih.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengetuai delegasi negara ke persidangan itu dan dijadual menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada sesi pleno pertama di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC).
Sesi berkenaan dijadual berlangsung pada pukul 2.30 petang waktu tempatan, bersamaan 7.30 malam waktu Malaysia.
Persidangan yang berlangsung hingga 27 November itu menghimpunkan pemimpin telekomunikasi, pembuat dasar dan wakil kerajaan dari seluruh dunia bagi membincangkan keutamaan strategik sektor komunikasi antarabangsa.
Sebagai badan pembuat keputusan tertinggi ITU, persidangan berkenaan turut menentukan dasar dan kepimpinan organisasi bagi tempoh 2027 hingga 2030.
Selain menyertai persidangan, Datuk Seri Fahmi dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Fiji, Costa Rica dan Finland bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor komunikasi.
Beliau juga dijangka bertemu wakil kanan Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) untuk meneroka peluang kerjasama dengan industri komunikasi mudah alih antarabangsa.
Dalam pada itu, Malaysia turut berusaha mengekalkan keanggotaan dalam Majlis ITU yang terdiri daripada 48 negara bagi penggal 2027 hingga 2030.
Pemilihan kepimpinan tertinggi ITU dan ahli Lembaga Peraturan Radio turut menjadi antara agenda utama persidangan berkenaan.
Datuk Seri Fahmi berada di Doha bagi lawatan kerja dari 6 hingga 11 November, diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran.