
KUALA LUMPUR, 9 November – Kerjasama antara syarikat teknologi dengan jenama tempatan berpotensi memperluas pasaran produk Malaysia ke peringkat antarabangsa, khususnya melalui rangkaian serantau dan kepakaran digital.
- Grab sedia memperkukuh kerjasama strategik dengan pengusaha tempatan untuk membantu mengembangkan perniagaan.
- Jenama tempatan seperti Oriental Coffee boleh manfaatkan platform Grab untuk tingkatkan daya saing dan perluaskan kehadiran pasaran serantau serta global.
- Kejayaan kerjasama menuntut kebolehan menerima pandangan dan kepakaran berbeza serta berfikiran terbuka untuk mencari titik persamaan.
- Grab gunakan data pesanan menerusi GrabFood Five Star Eats Guide bersama Tourism Malaysia untuk promosikan lokasi makanan popular dan jenama tempatan.
Ketua Program Kesetiaan Pelanggan dan Pemasaran Serantau Grab, Hassan Alsagoff berkata, pihaknya bersedia memperkukuh kerjasama strategik dengan pengusaha tempatan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata, jenama tempatan seperti Oriental Coffee berpeluang memanfaatkan platform Grab untuk meningkatkan daya saing dan memperluas kehadiran dalam pasaran.
“Kami mahu mengembangkan jenama ini ke luar Malaysia.
“Grab boleh bekerjasama dengan Oriental Coffee bagi meneroka peluang memperluas pasaran ke seluruh Asia Tenggara dan peringkat global, selain meningkatkan profil jenama itu di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi dialog Public Impact and Nation Building sempena Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.
Menurut Hassan lagi, kerjasama antara syarikat teknologi dan pengusaha tempatan, bagaimanapun, menuntut kesediaan setiap pihak menerima pandangan serta kepakaran berbeza.
“Perkara paling penting adalah untuk sentiasa berfikiran terbuka dan memahami pandangan setiap pihak kerana di situ kita dapat mencari titik persamaan,” katanya.
Selain membantu peluasan pasaran, Grab turut memanfaatkan data pengguna bagi mempromosikan produk dan destinasi makanan tempatan menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia sejak tahun lalu.
Inisiatif GrabFood Five Star Eats Guide menggunakan data pesanan pengguna untuk membantu pelancong dan rakyat Malaysia mengenal pasti lokasi makanan popular, sekali gus meningkatkan pendedahan jenama makanan tempatan.