
NEW YORK, 9 November – Lembaga pengarah syarikat semikonduktor Amerika Syarikat (AS), Nvidia membuka siasatan bebas susulan laporan mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama, Jensen Huang menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita yang ‘dipercayai’ bekerja untuk perisikan China.
- Huang mengakui menjalin hubungan sulit dan memohon maaf kepada keluarga serta kakitangan syarikat.
- Nvidia membentuk jawatankuasa dengan penasihat undang-undang luar untuk menyelia dan menilai maklumat siasatan.
- Lembaga menegaskan keselamatan negara dan ekonomi AS menjadi keutamaan serta tiada sebab bagi percaya rahsia Nvidia terjejas.
- Pihak berkuasa AS menyiasat Megaspeed atas dakwaan menyalurkan cip AI yang tertakluk kepada sekatan ke China, Beijing menafikan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Huang mengakui telah menjalin hubungan sulit dan memohon maaf kepada keluarga serta kakitangan syarikat.
“Saya telah berlaku curang terhadap isteri dan tindakan itu menyakiti hati isteri dan anak-anak. Saya amat kesal,”katanya.
Sementara itu, Nvidia menerusi kenyataan memaklumkan satu jawatankuasa dengan bantuan penasihat undang-undang luar bakal menyelia siasatan berkenaan serta menilai semua maklumat.
Lembaga pengarah menegaskan keselamatan negara serta ekonomi AS menjadi keutamaan dengan menyifatkan kedua-duanya sebagai kepentingan teras syarikat dan pemegang saham.
“Ketika siasatan berjalan, lembaga pengarah “tidak mempunyai sebab untuk mempercayai keselamatan negara atau rahsia Nvidia telah terjejas.”
“Huang juga menyokong penuh siasatan dalaman dan komited untuk memberi kerjasama,”kata kenyataan itu lagi.
Hujung bulan lepas, The New York Times melaporkan pegawai perisikan AS membuat kesimpulan bahawa eksekutif kanan Megaspeed yang berpangkalan di Singapura, Alice Huang telah menyalurkan maklumat kepada Beijing.
Pihak berkuasa persekutuan AS menyiasat Megaspeed berkaitan dakwaan menyalurkan cip semikonduktor kecerdasan buatan (AI) yang tertakluk kepada sekatan tidak sah ke China.
Laporan berkenaan bagaimanapun, dinafikan China dengan menyifatkan dakwaan terbabit tidak berasas dan tidak lebih daripada cubaan memburukkan Beijing.-AFP