
MOSCOW, 9 November – Empat laras senjata api dirampas di lokasi kejadian tembakan di Bandar Raya Krakow, Poland, manakala tujuh lagi ditemukan di rumah penembak, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Pendakwa Raya Daerah Kielce Daniel Prokopowicz pada Ahad.
- Penembak melepaskan tembakan dari kereta bergerak di tengah Krakow pada petang Sabtu.
- Enam orang terbunuh dan 16 cedera, termasuk pegawai polis.
- Penyerang cedera ditahan dan dirawat di hospital dan mayat kakak serta ibu bapa ditemui di kediamannya.
“Tujuh laras senjata api dan sejumlah besar peluru dirampas di kediaman penembak. Empat senjata lagi ditemukan di tempat kejadian di Krakow,” kata Prokopowicz kepada pemberita.
Rampasan berkenaan bertepatan dengan maklumat agensi penguatkuasaan undang-undang bahawa penembak dan bapanya memiliki permit bagi sejumlah 11 laras senjata api, kata pendakwa raya itu.
Penembak itu sendiri mempunyai permit bagi dua senjata api, kata Prokopowicz.
Pada petang Sabtu, polis Poland memaklumkan seorang individu tidak dikenali melepaskan tembakan dari sebuah kereta yang sedang bergerak di tengah Krakow.
Polis kemudiannya melaporkan enam orang terbunuh manakala 16 lagi cedera, termasuk pegawai polis.
Penyerang yang cedera telah ditahan dan kini masih dirawat di hospital.
Mayat kakak dan ibu bapa penembak itu kemudiannya ditemukan sewaktu pemeriksaan dijalankan di kediamannya.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI