Protes ‘Garisan Merah’, bantah keganasan Israel terhadap Gaza

Foto AFP

AMSTERDAM, 9 November – Puluhan ribu orang menyertai demonstrasi jalanan di Amsterdam pada Ahad, bagi membantah keganasan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta berpakaian serba merah membawa sepanduk, mendesak Belanda tingkatkan tekanan untuk menghentikan sokongan ketenteraan kepada Israel.
  • Gencatan senjata Oktober lalu gagal menamatkan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
  • Penduduk Gaza masih hadapi krisis kemanusiaan serius dan serangan Israel dilaporkan berlaku secara berkala.
  • Belanda menguatkuasakan larangan import produk dari penempatan Israel di wilayah Palestin diduduki, dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Peserta berpakaian serba merah sambil membawa sepanduk menyertai perarakan yang dikenali sebagai protes ‘Garisan Merah’ itu turut mendesak kerajaan Belanda mengambil tindakan lebih tegas terhadap rejim berkenaan dengan meningkatkan tekanan supaya menghentikan sokongan ketenteraannya kepada Israel.

Sementara itu, gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu masih belum berjaya menamatkan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Penduduk Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang serius, selain serangan Israel yang dilaporkan berlaku secara berkala.

Dalam perkembangan berkaitan, keganasan oleh penduduk haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki turut dilaporkan semakin meningkat.

Selain itu, Belanda sehingga kini masih belum mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, berbeza dengan beberapa negara Eropah lain, termasuk Perancis dan Belgium.

Terdahulu, pada September lalu, kerajaan Belanda menguatkuasakan larangan import produk dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sebagai tindak balas terhadap tindakan itu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menarik balik akreditasi diplomat Belanda.

Dalam perkembangan lain, Belanda turut mengumumkan keputusan untuk tidak menyertai Pertandingan Lagu Eurovision 2027.

Penyiar awam Belanda (NPO) mengesahkan, negara itu tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut susulan perdebatan berterusan mengenai penyertaan Israel dalam acara berkenaan sekali gus mempengaruhi keputusan tersebut.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.