
DOHA, 8 November –Malaysia menggesa supaya keselamatan siber dan perlindungan kanak-kanak dalam talian diberikan keutamaan dalam agenda digital global, seiring perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.
- Menekankan keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dan pembinaan kepercayaan bagi memastikan orang ramai memanfaatkan peluang ekonomi digital dengan yakin.
- Inovasi harus digabungkan dengan langkah perlindungan supaya teknologi dibangunkan dan digunakan secara bertanggungjawab, melindungi pengguna khususnya kanak-kanak.
- Memperkasakan keterhubungan bermakna, keterangkuman digital dan infrastruktur mampan, serta kerjasama antarabangsa dan peranan ITU untuk masa depan digital saksama.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, aspek keselamatan dan kepercayaan penting bagi memastikan masyarakat dapat memanfaatkan peluang ekonomi digital dengan yakin, tanpa mengabaikan risiko yang timbul daripada perkembangan teknologi.
Menurutnya, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan sewajarnya bagi memastikan teknologi dibangunkan dan digunakan secara bertanggungjawab, sekali gus melindungi pengguna khususnya kanak-kanak di alam maya.
“Deklarasi itu sewajarnya memberikan penekanan terhadap keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian serta memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi baharu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Bagi Malaysia, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan. Ini akan memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan teknologi digital,” katanya pada Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri sempena Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26).
Datuk Seri Fahmi berkata, Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang menggariskan pendekatan menyeluruh dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital, dengan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu keterhubungan bermakna, keterangkuman digital serta pembangunan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Beliau berkata keterhubungan bermakna perlu melangkaui aspek liputan rangkaian dengan memastikan perkhidmatan telekomunikasi mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan bagi menyokong keperluan masyarakat serta aktiviti ekonomi.
Sehubungan itu, pembangunan infrastruktur digital yang mampan dan berdaya tahan turut penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi, khususnya ketika berlaku kecemasan atau gangguan.
Dalam pada itu, beliau berkata transformasi digital perlu membuka peluang kepada semua tanpa mengira lokasi atau tahap kesediaan digital, menerusi pelaburan dalam pembangunan kemahiran, peningkatan keupayaan serta sokongan terhadap inovasi.
“Ketika AI dan teknologi baharu yang lain terus berkembang, kita perlu memastikan negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat akses tidak keciciran.
“Mereka bukan sahaja perlu diberi peluang untuk menggunakan teknologi ini, malah berpeluang membentuk hala tuju pembangunannya dan menikmati manfaat daripada peluang yang ada,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa serta peranan ITU dalam memperluas keterhubungan, membangunkan piawaian teknikal dan memperkukuh keupayaan digital negara anggota.
Datuk Seri Fahmi berkata, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan ITU dan negara anggota lain bagi membina masa depan digital yang lebih terhubung, inklusif, selamat dan saksama untuk semua.