
SHAH ALAM, 8 November – Hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dinaiki air, termasuk Taman Sri Muda, Seksyen 25.
- Tiada pemindahan penduduk dilaporkan susulan kejadian.
- Air melimpah ke beberapa laluan jalan dipercayai berpunca daripada limpahan air longkang, menurut JBPM Selangor.
- Pemantauan diteruskan di kawasan berisiko termasuk Jalan Kebun Bunga Seksyen 22, Seksyen 13 dan Seksyen 26 Kampung Baru Hicom.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pemindahan penduduk dilaporkan susulan kejadian berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kejadian sama turut dikesan di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26.
“Hasil tinjauan mendapati air yang melimpah ke beberapa laluan jalan raya di lokasi terjejas dipercayai berpunca daripada limpahan air longkang.
“Keadaan cuaca kembali reda selepas hujan berhenti, namun pemantauan masih diteruskan di beberapa kawasan berisiko.
“Antara lokasi yang diberi perhatian termasuk Jalan Kebun Bunga, Seksyen 22, Seksyen 13 dan Jalan Kebun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beberapa rakaman dan gambar kejadian banjir kilat di sekitar Taman Sri Muda serta sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang, tular di media sosial susulan hujan lebat yang berlaku antara pukul 3 hingga 5 petang.