
KUALA LUMPUR, 8 November – Seramai 195 individu bawah umur antara 196 pelanggan yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di sekitar ibu negara awal pagi tadi.
- Serbuan dijalankan kira-kira pukul 12.30 malam susulan syak premis membenarkan pengunjung bawah umur.
- Pelanggan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan saman, dokumentasi dan tindakan lanjut.
- Pengurus premis disiasat mengikut Seksyen 29(2) Kaedah-Kaedah Hiburan 1993; satu saringan air kencing positif amphetamine dan syabu.
Serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, susulan premis berkenaan disyaki membenarkan pengunjung bawah umur memasuki pusat hiburan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pelanggan bawah umur membabitkan 93 lelaki dan 61 wanita tempatan, selain 16 lelaki serta 25 wanita warga asing.
“Seramai 196 pelanggan yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan saman, dokumentasi dan tindakan lanjut.
“Kesemua individu yang ditahan berumur antara 18 hingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati semua individu terbabit tidak mempunyai rekod dikehendaki polis.
Katanya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap seorang pengurus premis serta 16 pekerja, membabitkan 12 lelaki dan empat wanita.
Saringan awal air kencing terhadap 49 individu pula mendapati hanya seorang positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan syabu manakala selebihnya negatif.
Pengurus premis disiasat mengikut Seksyen 29(2) Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993 kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan.