
PUTRAJAYA, 8 November – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan analisis makmal bagi menyiasat aduan dakwaan keracunan makanan selepas pengguna mengambil produk Gardenia, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
- KKM menjalankan siasatan awal mengikut Akta Makanan 1983 dan akan membuat pemeriksaan susulan di kilang untuk sahkan pematuhan.
- Gardenia melaporkan siasatan dalaman tidak menemui penyimpangan proses pengeluaran atau pelanggaran SOP, namun KKM tidak menganggapnya muktamad.
- Baki produk dan bungkusannya diambil untuk analisis makmal; penguatkuasaan akan diambil jika bukti pelanggaran atau risiko keselamatan makanan ditemui.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan awal sedang dijalankan susulan aduan yang tular di media sosial serta laporan media, selaras dengan peruntukan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Sehubungan itu, KKM telah mendapatkan penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. yang memaklumkan bahawa siasatan dalaman syarikat tidak menemukan sebarang penyimpangan dalam proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terbabit.
“Proses pengesanan produk masih terbatas berikutan maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap.
Baki produk serta bungkusannya telah diambil dengan persetujuan pengadu untuk menjalani analisis makmal,” menurut kenyataan itu.
KKM menegaskan bahawa dapatan berkenaan merupakan hasil siasatan dalaman syarikat dan belum boleh dijadikan asas kepada kesimpulan muktamad mengenai punca simptom yang dilaporkan.
Selain menunggu keputusan analisis makmal, KKM akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983.
“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan,” kata KKM.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Individu yang mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki diminta segera mendapatkan rawatan perubatan serta membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.
Aduan berkaitan keselamatan makanan juga boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) atau Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM.