Rasuah tidak akan dikompromi, pelaku tempatnya dalam penjara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan, khususnya perbuatan yang menjejaskan kehidupan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan yang menjejaskan kehidupan rakyat.
  • Pembangkang lebih lantang mainkan sentimen perkauman dan agama daripada membangkitkan isu rasuah bernilai berbilion.
  • Berdiam diri terhadap penyelewengan berskala besar menggalakkan toleransi terhadap kejahatan, jadi tindakan perlu diambil.
  • PM tidak setuju UMNO melunaskan denda RM50 juta kepada bekas Perdana Menteri kerana ia memberi mesej salah tentang usaha anti rasuah.

Beliau berkata, pembangkang sebaliknya dilihat lebih lantang memainkan sentimen perkauman dan agama berbanding membangkitkan isu rasuah serta penyelewengan yang membabitkan kerugian berbilion ringgit.

Menurut Datuk Seri Anwar, sikap berdiam diri terhadap penyelewengan berskala besar boleh menyebabkan masyarakat semakin terbiasa bertolak ansur dengan perbuatan salah sehingga menganggapnya sebagai perkara biasa.

“Apabila penyelewengan berbilion ringgit didiamkan, lama-kelamaan kita terbiasa bertolak ansur dengan kejahatan, yakni tolerance for evil.

“Selagi saya memikul amanah ini, saya tidak akan berkompromi dengan rasuah kerana pelaku rasuah tempatnya dalam penjara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, susulan ucapannya pada Forum Ilmuwan MADANI baru-baru ini.

Jumaat lalu, media melaporkan, Datuk Seri Anwar secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan UMNO melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Menurut beliau, walaupun UMNO mempunyai semangat persahabatan dengan Datuk Seri Najib, tindakan itu boleh memberi mesej yang salah kepada masyarakat mengenai usaha membanteras rasuah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.