114 warga asing ditahan dalam serbuan di dua premis hiburan

Foto FB JIM Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 8 November – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 114 warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di dua premis hiburan di sini, dua hari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 64 ditahan di premis Jalan Keranji: majoriti wanita warga Thailand dan Laos; turut ditahan warga Myanmar, Bangladesh, Nepal dan dua wanita transjantina.
  • 50 ditahan di Jalan Kulim: termasuk wanita warga Thailand, Laos, Vietnam dan beberapa lelaki warga Myanmar.
  • Operasi bertujuan memperkukuh penguatkuasaan dan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen; JIM akan terus mempergiat pemantauan bagi mengekalkan keselamatan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, JIM Pulau Pinang memaklumkan, 64 individu ditahan di premis Jalan Keranji, Taman Mutiara, membabitkan 44 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos.

Turut ditahan, dua wanita transjantina warga Laos, dua lelaki warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh serta Nepal.

“Seramai 50 lagi individu ditahan di Jalan Kulim, Taman Machang Bubok terdiri daripada 29 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, seorang wanita warga Vietnam dan enam lelaki warga Myanmar,” menurut hantaran berkenaan.

Menurut JIM Pulau Pinang, operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan serta membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.

“JIM Pulau Pinang akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta memelihara kedaulatan dan keselamatan negara,” menurut hantaran itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.