
KUALA LUMPUR, 8 November – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bukti keyakinan bank pusat itu terhadap daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global.
- Keputusan menyokong pertumbuhan domestik serta mengekalkan kestabilan kos pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
- BNM wajar mempertimbang kenaikan 25 mata asas seawal suku pertama 2027 susulan prestasi ekonomi negara yang kekal kukuh.
- Petunjuk terbaharu menunjukkan pertumbuhan global mampan disokong sektor teknologi kuat, pembaikan bekalan dan pasaran buruh stabil.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan itu turut menyokong pertumbuhan domestik, selain mengekalkan kestabilan kos pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Saya kira pengekalan kadar OPR ini sudah pasti dapat membantu menyokong pertumbuhan ekonomi negara ketika Malaysia masih berhadapan dengan cabaran ekonomi luaran.
“Namun, asas ekonomi yang kukuh banyak membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi domestik. Oleh itu, saya melihat dasar monetari sedia ada sebagai dasar yang menyokong trajektori pertumbuhan ekonomi negara buat masa ini,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, pengekalan OPR juga membolehkan kos pembiayaan kekal stabil, sekali gus memberi ruang kepada PMKS merancang keperluan kewangan dan mengembangkan operasi perniagaan.
Mengulas prospek OPR pada 2027, beliau berpandangan, BNM wajar mempertimbang kenaikan sebanyak 25 mata asas seawal suku pertama tahun depan, susulan prestasi ekonomi negara yang kekal kukuh.
“Jika kita lihat, apabila OPR diturunkan pada Julai 2025, konteksnya adalah untuk membentuk dasar bersifat awal bagi menghadapi risiko kelembapan ekonomi susulan kejutan kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat.
“Namun, selepas penurunan tersebut, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2025 kekal stabil pada paras 5.2 peratus, manakala pada tahun ini pertumbuhan ekonomi mencatatkan 5.5 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama.
“Justeru, terdapat justifikasi untuk BNM melaraskan OPR ke tahap yang lebih normal,” jelasnya.
Sebelum ini, BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk mesyuarat MPC yang ketujuh berturut-turut sejak pengurangan 25 mata asas pada Julai 2025.
Bank pusat itu memaklumkan, petunjuk terbaharu menunjukkan pertumbuhan global yang mampan, disokong oleh perkembangan pesat sektor teknologi global yang kukuh, penambahbaikan keadaan bekalan dan pasaran buruh yang stabil.