
KUALA LUMPUR, 7 November -Malaysia mengenakan duti anti-lambakan sementara antara 4.41 peratus hingga 35.06 peratus terhadap import produk gulungan rata keluli aloi lain dan keluli bukan aloi disadur aluminium dan zink, dari China, Taipei dan Vietnam, berkuat kuasa hari ini.
- MITI mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank, berkuat kuasa sehingga 120 hari.
- Siasatan dimulakan pada 17 Julai 2026 susulan petisyen NS Bluescope Malaysia, mendakwa import dijual di bawah harga domestik dan merosakkan industri tempatan.
- Penentuan muktamad dijangka pada 6 Mac 2027; maklum balas pihak berkepentingan hingga 16 November 2026; laporan tidak sulit di TRIMA.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan kemudaratan material berterusan terhadap industri keluli tempatan susulan penemuan awal bahawa terdapat bukti mencukupi berhubung amalan lambakan produk berkenaan.
Duti sementara itu akan dikenakan dalam bentuk jaminan bank bersamaan margin lambakan yang dikenal pasti dalam penentuan awal dan berkuat kuasa untuk tempoh tidak melebihi 120 hari.
”Siasatan anti-lambakan berkenaan dimulakan pada 17 Julai 2026 susulan petisyen yang dikemukakan NS Bluescope Malaysia Sdn Bhd, yang mewakili industri tempatan bagi produk berkenaan.
”Petisyen itu mendakwa produk terbabit dari ketiga-tiga negara berkenaan diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah berbanding harga jualan di pasaran domestik negara asal, sekali gus menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan,” jelas MITI dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).
Penentuan muktamad berhubung siasatan itu dijangka dibuat selewat-lewatnya pada 6 Mac 2027.
Dalam pada itu, MITI mengalu-alukan maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk pengimport, pengeluar dan pengeksport asing serta persatuan berkaitan berhubung laporan penentuan awal itu selewat-lewatnya pada 16 November 2026.
Laporan penentuan awal versi tidak sulit boleh diperoleh menerusi Sistem Pengurusan Siasatan Remedi Perdagangan (TRIMA) di https://traderemedies.miti.gov.my/.