29 syarikat Malaysia sertai CIIE 2026, perkukuh peluang eksport ke China

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2026 berlangsung 5 hingga 10 November 2026 / Foto MATRADE

KUALA LUMPUR, 6 November – Sebanyak 29 syarikat Malaysia menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2026 bagi memperkukuh kehadiran pengeksport tempatan, memperluas akses pasaran serta meneroka peluang perniagaan baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pavilion Malaysia mempamerkan kepelbagaian makanan dan produk pertanian menerusi 32 reruai, menonjolkan produk tempatan kepada pembeli China.
  • MATRADE anggap CIIE sebagai platform untuk memahami keutamaan pasaran, menilai keperluan komersial dan meneroka peluang pengedaran serta perolehan.
  • China kekal rakan dagang penting dengan nilai perdagangan dua hala RM542.2 bilion pada 2025, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ekspo yang berlangsung dari 5 hingga 10 November itu mengetengahkan kepelbagaian produk tempatan menerusi 32 reruai di ruang pameran Makanan dan Produk Pertanian, Pavilion Malaysia.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan memaklumkan, pavilion negara turut disertai Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Platform CIIE membolehkan syarikat Malaysia memahami keutamaan pasaran, menilai keperluan komersial serta meneroka peluang pengedaran dan perolehan bersama rakan niaga strategik.

“Berlandaskan kejayaan MIHAS@Shanghai 2025, penyertaan Malaysia dalam CIIE 2026 dijangka dapat mengekalkan momentum ini dengan terus memperkukuh kehadiran dan jangkauan pengeksport Malaysia dalam pasaran China,” jelas MATRADE dalam kenyataan, hari ini.

MATRADE akan terus memudah cara hubungan perniagaan bagi membantu syarikat Malaysia membina kerjasama komersial jangka panjang di pasaran berkenaan.

China kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM542.2 bilion pada 2025, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.