
KUALA LUMPUR, 6 November – Kenaikan tarif gas asli dan penurunan harga jualan purata (ASP) dijangka terus memberi tekanan kepada keuntungan pengeluar sarung tangan getah pada suku ketiga tahun kewangan 2026.
- Potensi kenaikan ASP selepas November mungkin capai AS$23 setiap 1,000 unit, masih lebih rendah berbanding paras puncak Jun.
- Kenaikan tarif gas kepada RM59 bagi setiap MMBtu, berbanding purata RM49.90 pada suku September, menambah kos operasi.
- Gas asli menyumbang antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran sarung tangan.
- Pelaksanaan kenaikan gaji minimum boleh mengurangkan keuntungan industri sekitar 4% pada 2027 dan 7% pada 2028.
CIMB Research berkata, walaupun terdapat kemungkinan harga jualan sarung tangan meningkat selepas November ini, kesan positif terhadap pendapatan dijangka lebih sederhana berbanding prestasi yang dicatatkan pada suku berakhir Jun 2026.
“Sekiranya kenaikan harga berlaku, ASP boleh mencecah AS$23 bagi setiap 1,000 unit melepasi julat unjuran semasa antara AS$21 hingga AS$22 bagi setiap 1,000 unit.
“Bagaimanapun, paras itu masih lebih rendah berbanding harga puncak sekitar AS$28 bagi setiap 1,000 unit yang direkodkan pada Jun lalu,” katanya dalam satu nota penyelidikannya.
Menurut firma penyelidikan itu, kenaikan tarif gas asli kepada RM59 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu), berbanding purata RM49.90 pada suku September, turut menambah tekanan terhadap kos operasi pengeluar.
Ini memandangkan gas asli menyumbang antara 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran sarung tangan.
“Tekanan terhadap industri turut dicerminkan menerusi prestasi eksport sarung tangan getah Malaysia yang menyusut 2.5 peratus kepada 54,134 tan pada September, selepas mencatatkan penurunan 7.7 peratus pada Ogos,” jelasnya lagi.
Perkembangan itu menunjukkan permintaan pasaran masih berdepan cabaran, sekali gus mengehadkan prospek pemulihan sektor berkenaan.
Dalam masa sama, CIMB Research itu memaklumkan, pelaksanaan kenaikan gaji minimum itu boleh mengurangkan keuntungan industri masing-masing sekitar 4 peratus pada 2027 dan 7 peratus pada 2028.