Indeks Kewangan Global : Malaysia catat kedudukan ke-15, lonjak enam anak tangga

Skor keseluruhan keterangkuman kewangan Malaysia meningkat lima mata kepada 58.2, mengatasi purata global sebanyak 52 mata

KUALA LUMPUR, 6 November – Malaysia mencatat peningkatan tertinggi dalam Indeks Keterangkuman Kewangan Global 2026 apabila melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-15.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Indeks Keterangkuman Kewangan Global 2026.
  • Pemodenan dan pendigitalan sektor kewangan meningkatkan akses pembiayaan, keyakinan perniagaan serta memperkukuh ekonomi.
  • Sistem kewangan negara naik ke kedudukan ke-13, didorong transaksi masa nyata dan akses lebih baik kepada modal serta kemudahan kredit.
  • Malaysia menduduki tempat kelima global bagi sokongan majikan, menyokong PKS serta merangsang pasaran buruh dan pertumbuhan KDNK.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Principal Asset Management Bhd, Munirah Khairuddin berpandangan, prestasi berkenaan mencerminkan sektor kewangan, semakin moden yang berupaya meningkatkan akses pembiayaan, keyakinan perniagaan serta memperkukuh ekonomi.

“Usaha pendigitalan perkhidmatan kewangan juga telah membawa lebih ramai masyarakat ke dalam sistem kewangan serta memudahkan akses kepada maklumat dan produk kewangan.

“Perkembangan itu, dalam masa sama turut memberi kesan positif kepada ekonomi sebenar khususnya dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta keyakinan perniagaan.

“Prestasi berkenaan juga menunjukkan pasaran buruh negara semakin kukuh dan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun,”katanya dalam kenyataan.

Indeks yang diterbitkan oleh Principal Financial Group bersama Centre for Economics and Business Research (Cebr) itu menilai tahap keterangkuman kewangan di 42 pasaran seluruh dunia.

Menurut indeks itu, skor keseluruhan keterangkuman kewangan Malaysia meningkat lima mata kepada 58.2 berbanding tahun sebelumnya, mengatasi purata global sebanyak 52 mata daripada 100.

Selain, sistem kewangan negara turut mencatat peningkatan enam anak tangga ke kedudukan ke-13, dengan skor meningkat 8.1 mata kepada 59.5, sekali gus melepasi purata global sebanyak 55.3 mata serta purata serantau Asia Tenggara sebanyak 45.6 mata.

Peningkatan didorong pertambahan transaksi tempoh nyata serta akses lebih baik kepada modal dan kemudahan kredit, seterusnya meletakkan Malaysia ke kedudukan yang lebih baik.

Dalam masa sama, Malaysia turut menduduki tempat kelima di peringkat global bagi aspek sokongan majikan, meningkat dua anak tangga berbanding tahun sebelumnya, dengan skor 72.6 mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.