SD Guthrie berpotensi jana keuntungan RM700 juta setahun

Foto Facebook SD Guthrie Berhad

KUALA LUMPUR, 6 November – SD Guthrie Bhd berpotensi menjana keuntungan antara RM500 juta hingga RM700 juta setahun menerusi usaha merealisasikan nilai aset tanahnya dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus meningkatkan pertumbuhan pendapatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Momentum segmen huluan dijangka kukuh dengan hasil FFB 17 hingga 22 tan sehektar pada 2026 dan 2027, melepasi paras sebelum pandemik.
  • Cuaca kering berisiko merendahkan pengeluaran Indonesia sekitar 10 peratus pada tahun kewangan 2027.
  • Kecekapan ladang, harga MSM tinggi dan usaha merealisasi nilai aset tanah dijangka menyokong daya tahan pendapatan kumpulan.
  • MBSB IB mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.65 sesaham.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan momentum segmen huluan kumpulan itu terus mengukuh dipacu hasil tandan buah segar (FFB) antara 17 hingga 22 tan sehektar pada tahun kewangan 2026 dan 2027, melepasi paras sebelum pandemik.

Bagaimanapun, keadaan cuaca kering berpotensi menyebabkan pengeluaran di Indonesia susut sebanyak 10 peratus pada tahun kewangan 2027.

”Namun, kecekapan ladang yang lebih baik, harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi serta usaha merealisasikan nilai aset tanah dijangka menyokong daya tahan pendapatan kumpulan,” jelas MBSB IB dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) SD Guthrie berjumlah RM690 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 selepas pelarasan item luar biasa RM83 juta.

Keuntungan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 mencapai 75.4 peratus daripada unjuran MBSB IB dan 83.8 peratus daripada anggaran konsensus pasaran.

Keuntungan operasi segmen huluan meningkat 49.1 peratus kepada RM935 juta, disokong peningkatan hasil FFB, kadar perahan minyak serta harga MSM yang lebih tinggi.

Sebaliknya, keuntungan operasi segmen hiliran merosot 28.3 peratus kepada RM109 juta, manakala segmen pembangunan perindustrian susut 79 peratus kepada RM82 juta berikutan normalisasi keuntungan selepas pelupusan Estet Kulai, Johor pada suku sebelumnya.

MBSB IB mengekalkan saranan BELI terhadap SD Guthrie dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.65 sesaham.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.