
SAO PAULO, 5 November – Selepas lima hari meraikan kejayaan merangkul kejuaraan dunia Formula One (F1), Kimi Antonelli kini memburu gelaran kedua bersama Mercedes pada Grand Prix (GP) Sao Paulo hujung minggu ini.
- Kimi Antonelli, 20, kini juara dunia termuda F1 dan boleh membantu Mercedes menewaskan Ferrari merebut kejuaraan konstruktor.
- Antonelli memburu kemenangan kesepuluh musim ini selepas mengesahkan kejuaraan menerusi tempat ketiga di Mexico.
- George Russell berazam menamatkan kemarau kemenangan selepas menghadapi masalah teknikal dan nasib kurang baik musim ini.
- Mercedes perlu mengutip sekurang-kurangnya tiga mata lebih banyak daripada Ferrari untuk mengesahkan kejuaraan konstruktor.
Pelumba Itali berusia 20 tahun itu, yang muncul juara dunia termuda dalam sejarah F1, berpeluang membantu Mercedes menewaskan Ferrari bagi merebut kejuaraan konstruktor.
Antonelli turut memburu kemenangan ke-10 musim ini selepas mengesahkan gelaran dunia menerusi kedudukan ketiga di Mexico.
Bagaimanapun, rakan sepasukannya, George Russell turut berazam menamatkan kemarau kemenangan selepas berdepan beberapa masalah teknikal dan nasib kurang baik sepanjang musim.
“Perkara yang boleh saya janjikan ialah saya akan memberikan sepenuh usaha untuk kembali mencapai prestasi yang pernah saya tunjukkan sepanjang sebahagian besar karier saya,” katanya.
Beliau turut berharap nasib lebih baik akan menyebelahinya selepas gagal meraih kemenangan dalam empat perlumbaan terakhir.
Timbalan Pengarah Teknikal Mercedes, Simone Resta mengakui pasukan itu perlu menyelesaikan masalah yang menjejaskan prestasi Russell.
“Kami mengecewakan George sedangkan beliau layak mendapat peluang untuk bersaing pada kedudukan yang lebih baik.
“Pasukan perlu memaksimumkan mata dan keputusan untuk memenangi kejuaraan. Kami akan memberikan usaha terbaik untuk mencapainya,” katanya.
Mercedes perlu mengutip sekurang-kurangnya tiga mata lebih banyak berbanding Ferrari pada perlumbaan itu untuk mengesahkan gelaran konstruktor.
Saingan turut dijangka sengit dengan kehadiran juara dunia empat kali, Max Verstappen daripada Red Bull yang memenangi tiga daripada empat perlumbaan terakhir.
Ferrari pula memburu kemenangan pertama di Brazil sejak 2017, manakala juara bertahan, Lando Norris daripada McLaren turut menjadi pencabar selepas meraih petak utama di litar itu dalam dua musim lalu.
Perlumbaan kali ini turut menyaksikan penampilan sulung pelumba tempatan, Rafael Camara, 21 tahun, bersama pasukan Haas di hadapan penyokong sendiri. – AFP