
LUMUT, 5 November – Dua bot nelayan tempatan (VNT) kelas B dan C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak kerana disyaki melanggar syarat lesen ketika beroperasi di perairan Tanjung Akuan, pada Rabu.
- Aset Maritim menahan bot disyaki melanggar syarat lesen kerana beroperasi kurang daripada jarak minimum yang ditetapkan.
- Tekong dan tiga kru warga Myanmar tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah; pemilik disyaki tidak mengusahakan bot sendiri.
- Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63; bot, kira-kira 220 kilogram hasil tangkapan dan peralatan dirampas.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainuddin Mohd Zuki berkata, kedua-dua bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira 4.8 dan 5.5 batu nautika barat daya Tanjung Akuan, masing-masing pada pukul 6.40 dan 6.50 pagi.
Beliau berkata, penahanan dilakukan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras aktiviti menyalahi peraturan di laut.
Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan dua tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 22 hingga 52 tahun.
Kedua-dua bot yang berpangkalan di Pantai Remis dan Bagan Panchor, Perak itu disyaki melanggar syarat lesen dengan beroperasi kurang daripada jarak minimum lima dan 15 batu nautika dari pantai atau daratan, mengikut kelas bot masing-masing.
Selain itu, pemilik bot turut disyaki tidak mengusahakan sendiri bot berkenaan, manakala tekong dan kru didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua nelayan ditahan untuk siasatan, manakala kedua-dua bot, kira-kira 220 kilogram hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.