Dasar gaji minimum perlu seiring bantuan bersasar

Jurang pendapatan perlu ditangani bagi mengelak ketidaksamaan menjadi isu sosial yang lebih besar

KUALA LUMPUR, 5 November – Dasar gaji minimum negara perlu dilaksana secara seimbang serta tidak boleh dinilai secara berasingan, sebaliknya perlu disokong menerusi langkah lain bertujuan memastikan peningkatan pendapatan berupaya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun, memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
  • Peningkatan peruntukan dan bantuan tunai SARA untuk memperkukuh sokongan kepada isi rumah berpendapatan rendah.
  • Pengenalan MediAsas serta rasionalisasi subsidi disokong disiplin fiskal untuk memelihara kemampanan ekonomi dan perpaduan sosial.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan penambahbaikan kadar upah perlu bergerak seiring dengan bantuan bersasar, rasionalisasi subsidi dan akses kepada perkhidmatan kesihatan mampu milik.

Menurut beliau, pendekatan menyeluruh berkenaan penting bagi memastikan isi rumah bukan sahaja menikmati peningkatan pendapatan, malah terus dilindungi daripada tekanan kos sara hidup.

“Menerusi Belanjawan 2027, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun tahun depan, dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja.

“Pada masa sama, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah akan ditingkatkan kepada RM16 bilion, dengan bantuan bulanan SARA dinaikkan kepada RM150 atau RM1,800 setahun.

“Kerajaan turut merancang memperkenalkan skim insurans dan takaful perubatan mampu milik, MediAsas, pada penghujung Januari 2027 bagi memperluas akses perlindungan kesihatan,”katanya.

Beliau turut mengakui, semua langkah berkenaan saling melengkapi dalam usaha mencapai dua matlamat utama, iaitu memastikan kemampanan ekonomi negara dan memelihara perpaduan sosial.

Jelasnya, disiplin fiskal dan penyasaran subsidi penting bagi mengelak beban kewangan diwariskan kepada generasi akan datang, manakala jurang pendapatan yang semakin melebar perlu ditangani bagi mengelak ketidaksamaan menjadi isu sosial yang lebih besar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.