
BANGKOK, 4 November – Thailand merangka empat senario luar jangka bagi melindungi ekonomi dan keselamatan negaranya daripada kemungkinan berlakunya gangguan akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat dan wilayah lain.
- Senario kecemasan dibangunkan bersama agensi kerajaan dan ahli akademik; pusat operasi ditubuhkan untuk memantau dan menyemak semula pelan.
- Kerajaan menyelaras dengan DDPM dan Jabatan Perhubungan Awam untuk menyampaikan maklumat tepat serta menggesa orang ramai tidak membuat pembelian panik.
- Jaminan bekalan makanan mencukupi, namun produk tenusu dan minyak masak mungkin berdepan kekurangan; Kementerian Pertanian sediakan langkah dan NSC pertimbang rizab makanan.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Jen Chaiyapruek Duangprapat berkata senario berkenaan dibangunkan menerusi rundingan bersama agensi kerajaan serta ahli akademik, manakala sebuah pusat operasi akan ditubuhkan bagi memantau perkembangan dan menyemak semula pelan luar jangka itu.
“Walaupun dunia sedang mengalami fasa krisis demi krisis, Thailand kekal berada di pinggiran luar krisis-krisis ini. Bagaimanapun, kami telah menyediakan pelan dan garis panduan operasi sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Rabu.
Chaiyapruek berkata kerajaan turut menyelaras langkah bersama Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) serta Jabatan Perhubungan Awam bagi memastikan maklumat awam disalurkan secara tepat dan tepat pada masanya sekiranya amaran perlu dikeluarkan.
Beliau menggesa orang ramai agar tidak panik atau membuat pembelian panik barangan keperluan, sambil memberi jaminan bahawa Thailand mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dengan pengeluaran beras melebihi penggunaan domestik, selain bekalan telur ayam dan kebanyakan barangan pengguna yang mencukupi.
Bagaimanapun, beliau berkata sesetengah produk termasuk produk tenusu dan minyak masak untuk perasa mungkin berdepan ketidakseimbangan bekalan, sekali gus mendorong Kementerian Pertanian dan Koperasi menyediakan langkah bagi menangani kemungkinan kekurangan berkenaan.
Chaiyapruek berkata NSC turut mempertimbangkan cadangan penubuhan rizab makanan kebangsaan bagi memperkukuh lagi kesiapsiagaan negara itu, walaupun pelaksanaannya memerlukan masa.- BERNAMA