
PARIS, 4 November– Bank serantau Perancis, Credit Mutuel Arkea mengesahkan menjadi mangsa serangan siber, yang membolehkan transaksi penipuan dilakukan.
- Jumlah kerugian dilaporkan mencecah AS$133 juta (118 juta euro).
- Bank memaklumkan serangan kini terkawal dan operasi tertentu digantung sementara sebagai langkah keselamatan.
- Bank menyatakan kejadian tidak akan memberi sebarang kesan kewangan kepada pelanggan.
Jumlah kerugian dilaporkan mencecah AS$133 juta (118 juta euro).
Bank berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada gergasi perkhidmatan kewangan Perancis, Credit Mutuel di barat negara itu, memaklumkan serangan berkenaan kini “terkawal”.
Ia tidak akan memberi “sebarang kesan kewangan” kepada pelanggan.
Bagaimanapun, bank berkenaan tidak mendedahkan secara terperinci bagaimana serangan itu berlaku atau pihak yang mungkin bertanggungjawab, termasuk jumlah kerugian.
Media melaporkan, syarikat-syarikat di seluruh Eropah kini meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan beberapa siri insiden penggodaman yang disyaki menyasarkan peti sejuk dan penyejuk beku di pasar raya sejak beberapa hari kebelakangan ini sehingga mencetuskan kekecohan.
“Pasukan kami segera bertindak sebaik sahaja serangan itu dikesan. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami memutuskan untuk menggantung sementara transaksi tertentu bagi menjamin kelancaran operasi dan mencegah sebarang aktiviti penipuan lanjut,” jelas Arkea.
“Operasi akan bersambung semula tidak lama lagi dalam keadaan keselamatan yang optimum, sebaik sahaja pemeriksaan akhir dan langkah-langkah keselamatan selesai dilaksanakan,” katanya.
ZachXBT, seorang penyiasat bebas yang pakar dalam menjejaki dana pada rantaian blok, iaitu sistem yang menjadi asas kepada transaksi mata wang kripto, mendedahkan penipuan tersebut melalui akaun media sosialnya awal minggu ini.-AFP.