
SUBANG JAYA, 4 November – Generasi muda digesa memanfaatkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), dan kreativiti untuk mencetuskan perubahan positif dalam masyarakat, bukan sekadar mengejar populariti menerusi kandungan tular di media sosial.
- Kejayaan kandungan diukur melalui peningkatan kesedaran, perubahan sikap dan tindakan masyarakat, bukan jumlah tontonan atau tanda suka.
- AI mempercepat penghasilan kandungan, tetapi kepercayaan dan kebijaksanaan manusia perlu terus menjadi keutamaan.
- Generasi muda ada akses teknologi dan kreativiti; institusi perlu sediakan ruang serta peluang untuk mereka memimpin tindakan nyata.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, kejayaan sesebuah kandungan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah tontonan, tanda suka atau perkongsian semata-mata, sebaliknya sejauh mana ia mampu meningkatkan kesedaran, mengubah sikap dan mendorong masyarakat bertindak.
Menurutnya, meskipun AI mampu membantu menghasilkan kandungan berkualiti dengan lebih pantas, aspek kepercayaan dan kebijaksanaan manusia perlu terus menjadi keutamaan dalam mendepani perkembangan teknologi.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI), teknologi ini mampu menghasilkan pelbagai kandungan berkualiti dan membantu meningkatkan mutu penghasilan kandungan.
“Namun, terdapat dua persoalan utama yang perlu diberi perhatian, iaitu soal kepercayaan dan sejauh mana AI mampu menjadikan kita lebih bijaksana dalam kehidupan seharian.
“Persoalan ini perlu kita jawab demi masa depan manusia sejagat. Teknologi sememangnya mampu mempercepatkan sesuatu urusan, tetapi ia tidak semestinya menjadikan kita lebih bijaksana,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Green Growth Asia Foundation dan Taylor’s University Young Reporters for The Environment (YRE) Sustainable Campus Marketing Challenge 2026, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata generasi muda mempunyai kelebihan dari segi akses kepada teknologi, pengetahuan dan kreativiti untuk menyampaikan mesej kepada khalayak lebih luas serta memahami cabaran global.
Justeru, keupayaan tersebut perlu disertai tujuan dan tindakan jelas bagi memastikan teknologi dimanfaatkan sebagai pemangkin penyelesaian isu masyarakat.
Beliau turut menggesa institusi dan rakan industri menyediakan lebih banyak ruang serta peluang kepada golongan muda untuk mengetengahkan idea dan menerajui usaha menangani isu sebenar, tanpa sekadar menganggap mereka sebagai pemimpin masa hadapan.