Kanak-kanak maut dalam kebakaran 30 rumah di Tawau

Kebakaran yang berlaku kira-kira 6.30 pagi tadi memusnahkan 30 buah rumah di Kampung Sentosa./ BBP Tawau

TAWAU, 4 November – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 30 buah rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara, di sini, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat seorang mangsa ditemui di bilik tidur selepas kebakaran berjaya dipadam; mayat dihantar ke Hospital Tawau.
  • JBPM menggerakkan 47 anggota; operasi turut dibantu PDRM, APM, Jabatan Air dan SESB; laluan sempit menyukarkan operasi penyelamatan.
  • ADUN Kukusan menyelaras bantuan awal, mengingatkan tutup suis elektrik sebelum tinggalkan rumah dan menggalakkan permohonan Rumah Mesra SMJ.

Mangsa dikenali sebagai Jackson Zack ditemukan di bilik tidur di rumahnya selepas operasi pemadaman kebakaran selesai kira-kira pukul 10.00 pagi.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa ditemukan di bilik tidurnya selepas kebakaran berjaya dipadam pada pukul 10.00 pagi./ BBP Tawau

Bapa saudara mangsa, Bakri Syarifuddin berkata, ketika kejadian beliau keluar menghantar anaknya ke sekolah, manakala isterinya pula menghantar ibu mangsa ke hospital.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya yang memaklumkan rumah mereka terbakar.

“Ketika itu saya sedang menghantar anak ke sekolah. Isteri saya telefon dan beritahu rumah kami terbakar. Keadaan ketika itu memang kelam-kabut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Moiley Milin berkata, seramai 47 anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.47 pagi.

Operasi pemadaman turut dibantu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Operasi pemadaman kebakaran dilaksanakan JBPM dengan bantuan PDRM, APM, Jabatan Air dan Sabah Electricity ./ BBP Tawau

Menurutnya, keadaan kawasan perumahan yang mempunyai laluan sempit turut menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat untuk menjalankan operasi.

“Keadaan rumah dan jalan yang sempit sedikit sebanyak memberi cabaran kepada operasi. Nasihat saya, setiap rumah disarankan mempunyai sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api sebagai langkah awal untuk memadam kebakaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, pihaknya sedang menyelaras bantuan awal kepada mangsa yang terjejas.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan semua suis peralatan dan kelengkapan elektrik ditutup sepenuhnya sebelum meninggalkan rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Bila tinggalkan rumah, pastikan semua suis elektrik ditutup. Jangan biarkan ada lampu yang masih menyala kerana kadang-kadang berlaku litar pintas tanpa disedari dan ini boleh menyebabkan kebakaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggalakkan mangsa kebakaran yang memiliki tanah sendiri untuk memohon Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.