Pembangunan sosioekonomi Sabah diperkukuh menjelang 2030

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 November – Kerajaan akan mempergiat pembangunan sosioekonomi di Sabah menjelang 2030 menerusi penambahbaikan infrastruktur asas, termasuk bekalan elektrik, air dan jalan raya serta penyelesaian isu pemilikan tanah masyarakat setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuran, pewartaan dan pemberian hak milik tanah di bawah kategori NCR untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.
  • Penyelarasan antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri dipertingkat bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih berkesan.
  • Sesi libat urus bersama kementerian dan agensi di peringkat akar umbi bagi mengutamakan keperluan pembangunan setempat.
  • Penggunaan lima komponen dan 73 indikator untuk menilai serta memantau pelaksanaan pembangunan di semua daerah.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, usaha itu turut merangkumi pengukuran, pewartaan dan pemberian hak milik tanah di bawah kategori Native Customary Rights (NCR) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Menurutnya, penyelarasan antara agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga akan terus dipertingkat bagi memastikan pelaksanaan dasar serta program pembangunan di kawasan berkenaan lebih berkesan.

Beliau berkata, sesi libat urus bersama kementerian dan agensi di peringkat akar umbi penting bagi memastikan keperluan pembangunan setempat diberi perhatian.

“Walaupun kerajaan negeri meletakkan sasaran tertentu tetapi sesi libat urus bersama kementerian-kementerian dan agensi-agensi di peringkat akar umbi juga dapat memberikan kesan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Datuk Mohd Shahar berkata, kerajaan turut menggunakan lima komponen dan 73 indikator bagi menilai serta memantau pelaksanaan pembangunan di seluruh 157 daerah di seluruh negara.

“Kita ada lima komponen dan 73 indikator untuk kita melihat bagaimana untuk kita laksanakan di Kinabatangan dan seluruh daerah, 156 daerah di seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan gaji benar, kuasa beli dan mobiliti pendapatan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, kadar pengangguran yang rendah serta inflasi terkawal pada 1.8 peratus pada September lalu memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan intervensi struktur menerusi empat aspek di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.