598 VVIP, ahli politik gagal carum PERKESO

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November – Seramai 598 individu berprofil tinggi, termasuk orang kenamaan (VVIP), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dikesan gagal melunaskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pekerja domestik masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majikan diberi tempoh sehingga 7 Disember 2026 untuk menjelaskan tunggakan; penguatkuasaan diambil selepas tarikh itu.
  • Sebanyak 26,669 majikan direkod mempunyai tunggakan; perlindungan pekerja domestik seperti pemandu dan penjaga warga emas perlu diperkukuh.
  • Majikan yang ingkar boleh dikenakan kompaun, denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun; PERKESO mungkin mendedahkan identiti.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, mereka diberi tempoh sehingga 7 Disember 2026 untuk menjelaskan tunggakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Antara yang dikenal pasti gagal membuat bayaran termasuk individu berstatus VIP dan VVIP, ahli politik serta mereka yang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta.

“Setakat ini, terdapat 26,669 majikan yang mempunyai rekod tunggakan caruman. Kita perlu faham bahawa pekerja domestik bukan hanya pembantu rumah, tetapi turut merangkumi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan sebagainya.

“Jangan tunggu sehingga berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini sebelum kita mencari jalan penyelesaian. Perlindungan sosial pekerja domestik perlu diberi perhatian dan dijamin lebih awal,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada Waris Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO, hari ini.

Katanya, majikan yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan kompaun, denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Malah, PERKESO tidak menolak kemungkinan mendedahkan identiti majikan yang terus ingkar selepas tempoh diberikan berakhir.

“Saya telah mengarahkan PERKESO supaya memberi tempoh sehingga 7 Disember 2026 kepada majikan terbabit untuk menjelaskan tunggakan caruman. Sekiranya masih gagal berbuat demikian, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“Kita tidak berniat untuk memalukan mana-mana pihak dan saya sendiri tidak mahu mendedahkan nama mereka kepada umum.

“Saya minta semua majikan menyemak status caruman masing-masing. Jika sudah membuat bayaran, terima kasih. Namun, bagi yang masih belum menjelaskan caruman, sila berbuat demikian sebelum tarikh akhir ditetapkan,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.