Pasukan Siber ATM dijangka ditubuhkan menjelang 2030

Foto RTM

TELOK MAS, 4 November – Cadangan penubuhan Pasukan Siber sebagai cabang keempat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan Pasukan Siber penting memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman dan peperangan siber yang semakin mencabar keselamatan.
  • ATM menubuhkan kumpulan perintis untuk merangka struktur organisasi, latihan anggota dan keperluan operasi Pasukan Siber.
  • Ancaman serangan siber berlaku setiap hari, justeru pemantauan dan langkah pencegahan dilaksanakan secara berterusan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan cabang khusus itu penting bagi memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman dan peperangan siber yang semakin menjadi cabaran baharu dalam aspek keselamatan serta pertahanan negara.

Beliau berkata, langkah berkenaan akan melengkapkan tiga cabang sedia ada ATM, iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketika ini, ATM sedang membangunkan kumpulan perintis bagi merangka struktur organisasi, latihan anggota serta keperluan operasi Pasukan Siber berkenaan.

“Ketika ini, kita mempunyai Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Namun, peperangan kini turut melibatkan dimensi siber yang memerlukan penubuhan satu angkatan khusus bagi menangani ancaman serta peperangan siber.

“Kita telah menubuhkan kumpulan perintis yang sedang merangka struktur organisasi, latihan anggota serta segala keperluan berkaitan. Insya-Allah, kita menyasarkan cabang siber ini dapat dilancarkan selewat-lewatnya pada 2030 sebagai sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyerahan Projek Program Jiwa Murni di Balai Raya Tanjung Nibong, Kampung Telok Mas, Melaka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan ancaman serangan siber berlaku setiap hari, justeru pemantauan dan langkah pencegahan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.