73 projek jiwa murni dilaksana seluruh negara tahun ini

Foto RTM

MELAKA, 4 November – Sebanyak 73 projek di bawah Program Jiwa Murni dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM4 juta menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketahanan rakyat diperkukuh sebagai elemen penting dalam sistem pertahanan negara.
  • Program CIMIC mengeratkan hubungan ATM dengan masyarakat melalui gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan.
  • Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM3 juta untuk meneruskan pelaksanaan program tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, Melaka mencatatkan pelaksanaan 28 projek membabitkan peruntukan RM1.13 juta.

“Perkara paling penting ialah memastikan ketahanan rakyat menjadi elemen penting dalam memperkukuh pertahanan negara.

“Selain aspek persenjataan, aset, teknologi ketenteraan dan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita juga mahu membangunkan ketahanan rakyat sebagai sebahagian daripada kekuatan pertahanan negara.

“Justeru, pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan antara ATM dengan masyarakat, termasuk menerusi aktiviti gotong-royong dan program kemasyarakatan lain di bawah pendekatan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC),”katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Program Jiwa Murni di Balai Raya Tanjung Nibong, Kampung Telok Mas, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan program secara bergotong-royong bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat setempat bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada penduduk, malah mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Katanya, inisiatif itu turut menjadi platform membina keyakinan rakyat terhadap ATM serta meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Malah, pendekatan berkenaan memperkukuh konsep ketahanan rakyat sebagai elemen penting dalam sistem pertahanan negara.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM3 juta bagi meneruskan pelaksanaan program berkenaan tahun depan.

Bagaimanapun, lokasi serta projek yang akan dilaksanakan masih dalam penelitian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.