
KUALA LUMPUR, 4 November – Kedah Rubber City (KRC) berjaya menarik lima pelabur dengan komitmen pelaburan keseluruhan berjumlah RM3.344 bilion setakat September 2026.
- Tiga pelabur berpotensi dikenal pasti, kini dalam proses penilaian dan perbincangan.
- KRC menerima peruntukan RM320 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk pengambilan tanah dan pembangunan struktur.
- Sokongan Kerajaan Persekutuan diperlukan selepas projek berdepan kekangan bekalan elektrik sebelum ini.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tiga lagi pelabur berpotensi turut dikenal pasti dan kini dalam proses penilaian serta perbincangan.
Menjawab persoalan Ahli Parlimen Kubang Pasu mengenai pencapaian KRC, beliau berkata pembangunan kawasan perindustrian itu sebelum ini menerima peruntukan RM320 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pengambilan tanah dan pembangunan struktur.
“Setakat September 2026, KRC telah berjaya menarik lima pelabur yang komited dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM3.344 bilion. Di samping itu, kita sedang menilai ada tiga pelabur yang berpotensi dalam proses perbincangan,” katanya ketika menggulung perbahasan peruntukan Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan peruntukan tersebut yang membolehkan pembangunan KRC dilaksanakan.
Menurutnya, sebelum ini usaha menarik pelaburan ke KRC berdepan kekangan kerana bekalan tenaga elektrik belum tersedia.
“Sokongan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan pembangunan kawasan perindustrian berkenaan dapat direalisasikan,” katanya.