
JOHOR BAHRU, 3 November – Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadual dilancarkan Disember ini bakal menjadi panduan strategik bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta memastikan pelaksanaan inisiatif zon berkenaan lebih tersusun dan berkesan.
- Pelan Induk JS-SEZ berperanan sebagai panduan strategik untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan perancangan strategik menjelang 2027.
- Manfaat pembangunan perlu diperluas ke seluruh Johor termasuk Muar, Segamat dan Mersing melalui Pelan Transformasi Ekonomi Johor.
- Tempoh Jan 2025 hingga Jun 2026 merekodkan pelaburan diluluskan RM88.83 bilion, dengan kira kira 45 peratus telah direalisasikan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelbagai usaha pelaksanaan telah dimulakan dan perlu diperkukuh bagi memastikan potensi JS-SEZ dapat direalisasikan serta manfaatnya dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Kita akan terus mengetengahkan potensi strategik JS-SEZ, khususnya menerusi kerjasama dua hala yang lebih erat serta perancangan strategik bagi tahun 2027.
Seperti yang dirancang, Pelan Induk JS-SEZ akan dilancarkan pada ministerial retreat akan datang. Pada masa sama, Malaysia akan terus memberi penekanan kepada beberapa perkara penting bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan,”katanya selepas merasmikan Teraju Aspirasi Business Symposium Johor di Johor Bahru.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan, malah membolehkan mereka meneroka pasaran baharu menerusi jaringan strategik, akses pembiayaan dan pasaran Singapura.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata manfaat pembangunan JS-SEZ perlu diperluas ke seluruh Johor, termasuk Muar, Segamat dan Mersing menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
Usaha itu antaranya memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan pengangkutan dan logistik bagi meningkatkan kesalinghubungan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan berkenaan.
Bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM88.83 bilion, dengan RM40.30 bilion atau kira-kira 45 peratus daripadanya telah direalisasikan.