Keamanan negara hasil kesiapsiagaan anggota keselamatan – Penganalisis

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat ketika ini merupakan hasil kesiapsiagaan serta pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas sepanjang masa bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keupayaan mengesan dan mencegah ancaman sejak peringkat awal adalah kekuatan penting bagi menjamin keselamatan rakyat.
  • Kerjasama merentasi agensi keselamatan serta risikan menyeluruh membolehkan ancaman dikenal pasti sebelum menjejaskan kepentingan negara.
  • Penglibatan rakyat penting, lindungi akaun digital, kenal pasti penipuan dan elak sebar maklumat tidak disahkan; pupuk ketahanan melalui pendidikan.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat, keupayaan negara mengesan dan mencegah ancaman sejak peringkat awal menjadi antara kekuatan penting dalam menjamin keselamatan rakyat.

“Kesiapsiagaan nasional perlu dilihat sebagai lambang kekuatan dan kematangan strategik negara, bukannya petunjuk bahawa Malaysia sedang berdepan ancaman yang memerlukan rakyat berasa bimbang,” katanya ketika dihubungi RTM.

“Kerjasama merentasi agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain keupayaan risikan yang menyeluruh, membolehkan sebarang potensi ancaman dikenal pasti sebelum menjejaskan kepentingan negara,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, usaha menjaga keselamatan negara turut melibatkan pemantauan berterusan terhadap pelbagai bentuk ancaman baharu termasuk keselamatan siber, gangguan infrastruktur kritikal dan manipulasi maklumat.

“Anggota keselamatan kita telah banyak berkorban, meluangkan masa dan tenaga untuk memastikan elemen keselamatan negara tetap terjaga termasuk agensi lain yang bertungkus-lumus 24 jam bagi memastikan segala bentuk ancaman, sekarang dan masa depan, terus dipantau,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, usaha memperkukuh keselamatan negara turut memerlukan penglibatan rakyat melalui langkah sederhana dan praktikal, termasuk melindungi akaun digital, mengenal pasti penipuan serta mengelakkan penyebaran maklumat yang belum disahkan.

Menurutnya, budaya ketahanan nasional juga perlu dipupuk secara menyeluruh melalui pendidikan dan kesedaran keselamatan di peringkat sekolah, universiti, komuniti serta tempat kerja.

“Pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat lebih memahami peranan masing-masing dan tidak mudah dipengaruhi maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

“Sekarang ini kita masih terkawal, kekal stabil dan aman. Keupayaan kerajaan juga kekal efektif untuk memastikan jaminan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap keupayaan negara perlu terus diperkukuh, selain menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang menjadi antara benteng utama dalam mengekalkan keamanan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.