Bantuan PM, ringankan beban – penduduk

Suasana penduduk setempat meredah kawasan banjir kilat ketika tinjauan di Kampung Melayu Subang / BERNAMA

SHAH ALAM, 3 November – Penduduk Kampung Melayu Subang yang kebanyakannya terjejas banjir, mengakui bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membantu meringankan beban dihadapi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk bersyukur atas sumbangan Perdana Menteri yang membantu meringankan beban selepas bencana.
  • Ramai mengalami kerosakan teruk pada barangan peribadi seperti kereta, motosikal, peti ais dan almari.
  • Lebih 500 rumah terjejas dan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
  • Bantuan dipuji kerana membolehkan pembelian peralatan rumah rosak dan mengurangkan beban keluarga.

Seorang penduduk, Zarina Zakaria menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan berkenaan, selepas barangan peribadinya rosak teruk akibat bencana itu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana berikan sumbangan ini. Banyak barangan saya musnah, kereta dan motor terendam, peti ais terbalik, almari-almari semua terbalik.

“Memang tak boleh nak cakap, rasa macam hendak menangis,” katanya ketika ditemui RTM selepas lawatan Perdana Menteri di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.

Zarina Zakaria / RTM

Terdahulu, lebih 500 rumah terjejas akibat banjir selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan sekitar terutama di kawasan berkenaan, semalam.

Penduduk yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di dewan tersebut.

Siti Fatimah Zulkifli / RTM

Seorang lagi penduduk, Siti Fatimah Zulkifli berkata, bantuan yang diberikan itu sangat membantu kerana lebih 80 peratus barangan miliknya rosak.

“Alhamdulillah, bantuan ini sangat diperlukan kerana ia dapat membantu barang-barang yang sudah habis. Sumbangan ini, Alhamdulillah sangat-sangat membantu,” katanya.

Arfizin Ahmad / RTM

Bagi Arfizin Ahmad bantuan diterima itu dapat membantu mengurangkan bebanan yang sedang dihadapinya.

“Itulah, bantuan ini saya akan gunakan untuk beli peralatan rumah yang rosak. Banyak yang rosak seperti mesin basuh, peti ais dan barang-barang dapur. Kereta juga terjejas,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.