Sektor pembuatan dijangka pacu pertumbuhan ekonomi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 3 November – Sektor pembuatan Malaysia dijangka terus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran perindustrian dan pertumbuhan ekonomi negara pada suku keempat 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prospek pembuatan didorong oleh pertumbuhan pesanan baharu kukuh, peningkatan permintaan eksport dan pengambilan pekerja berterusan.
  • KDNK Malaysia lebih tinggi daripada jangkaan dengan pertumbuhan 5.3% suku ketiga 2026, menyokong aktiviti perindustrian.
  • Indeks PMI meningkat ke 51.0 pada Oktober 2026, kembali ke paras pengembangan, menunjukkan pemulihan aktiviti.
  • Risiko: peningkatan kos input, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik yang boleh menekan margin dan inflasi pengeluar.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), dalam nota penyelidikannya berkata, prospek positif itu didorong pertumbuhan kukuh pesanan baharu, peningkatan permintaan eksport serta pengambilan pekerja yang berterusan.

”Perkembangan itu turut disokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih tinggi daripada jangkaan, iaitu 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, selain peningkatan perdagangan sebanyak 53.7 peratus tahun ke tahun pada Septembe,” jelas bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya, hari ini.

MBSB IB berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global meningkat kepada 51.0 pada Oktober 2026 berbanding 49.9 pada September.

Peningkatan itu mengembalikan indeks berkenaan ke paras pengembangan, sekali gus mencatatkan prestasi paling kukuh sejak April 2026.

Bacaan PMI terkini menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam pengeluaran perindustrian dan aktiviti ekonomi keseluruhan pada suku keempat 2026.

Jelas MBSB IB, permintaan yang semakin kukuh mendorong firma meningkatkan aktiviti pembelian, selain mengekalkan pertumbuhan guna tenaga untuk bulan ketiga berturut-turut.

Bagaimanapun, inflasi kos input meningkat berikutan kenaikan kos pengangkutan dan bahan mentah, yang sebahagiannya dikaitkan dengan konflik di Asia Barat, seterusnya mendorong pengeluar menaikkan harga jualan.

“Peningkatan kos input, gangguan rantaian bekalan yang berterusan serta sentimen perniagaan yang lebih lemah kekal sebagai risiko utama yang boleh menjejaskan prospek sektor berkenaan.

“Ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat dan kos pengangkutan yang tinggi juga berpotensi terus memberi tekanan kepada margin keuntungan pengeluar, selain menyumbang kepada peningkatan inflasi harga pengeluar pada masa hadapan,” menurut nota itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.