
PUTRAJAYA, 3 November – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kini boleh mengemukakan permohonan secara terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mendapatkan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan prasarana sekolah untuk tahun 2027.
- Saluran khas 1-30 November dibuka untuk pengemukaan keperluan pembaikan melalui pautan dan kod QR yang disediakan KPM.
- Permohonan tidak diluluskan automatik, mesti berasaskan keperluan sebenar, utamakan kerosakan kritikal dan isu keselamatan murid serta warga sekolah.
- Peruntukan penyelenggaraan meningkat kepada RM2 bilion, KPM diarahkan turun padang dan memperkukuh kerjasama dengan sekolah serta PIBG.
Saluran khas yang dibuka selama sebulan bermula 1 hingga 30 November ini memberi peluang kepada PIBG mengemukakan keperluan pembaikan kemudahan fizikal sekolah masing-masing melalui pautan dan kod QR yang disediakan KPM.
Langkah itu susulan peningkatan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan semua jenis sekolah kepada RM2 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Bagaimanapun, KPM menjelaskan bahawa setiap permohonan yang dikemukakan tidak akan diluluskan secara automatik.
“Setiap cadangan hendaklah berasaskan keperluan sebenar dengan memberikan keutamaan kepada kerosakan kritikal serta perkara yang melibatkan risiko terhadap keselamatan murid dan warga sekolah,” menurut kenyataan KPM.
Kementerian itu berharap kemudahan berkenaan dapat memudahkan PIBG mengemukakan permohonan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah masing-masing secara terus kepada KPM.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima pada 9 Oktober lalu mengumumkan peruntukan RM2 bilion, iaitu peningkatan RM1 bilion bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di seluruh negara.
Beliau juga mengarahkan KPM mempergiat usaha turun padang ke setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana sekolah.
Inisiatif berkenaan diharap dapat memperkukuh kerjasama antara KPM, pihak sekolah dan PIBG dalam memastikan kemudahan pendidikan berada dalam keadaan baik, selamat serta kondusif untuk kegunaan murid dan warga pendidik.