
SEPANG, 1 November- Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berpuas hati di tempat keempat pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini, sekali gus terlepas peluang menaiki podium di laman sendiri.
- Kecewa dengan keputusan namun berpuas hati kerana sudah memberikan saingan terbaik sepanjang perlumbaan.
- Percubaan memintas di selekoh terakhir gagal selepas tersasar.
- Mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, keluarga dan pasukan atas sokongan mereka.
- Alih tumpuan ke GP Qatar minggu depan dengan sasaran memburu kedudukan podium.
Pelumba berusia 19 tahun itu mengakui kecewa dengan keputusan berkenaan, namun tetap berpuas hati kerana sudah memberikan saingan terbaik sepanjang perlumbaan.
“Saya cuba memintas di selekoh terakhir, namun tersasar. Dalam perlumbaan tadi, saya cuba memberikan yang terbaik untuk semua penonton, keluarga dan pasukan saya,” katanya.
Hakim Danish berkata demikian selepas menamatkan perlumbaan Moto3 di SIC.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang hadir memberikan sokongan, selain keluarga dan pasukannya yang sentiasa berada di belakangnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang hadir menyaksikan perlumbaan hari ini, serta keluarga, pasukan dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya.
Hakim Danish kini mengalihkan tumpuan kepada GP Qatar minggu depan dengan sasaran untuk kembali memberikan aksi cemerlang dan memburu kedudukan podium.
Dalam perlumbaan hari ini, pelumba Sepanyol daripada CFMOTO Gaviota Aspar, Maximo Quiles muncul juara, diikuti Veda Ega Pratama dari Honda Asia di tempat kedua.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe daripada Red Bull KTM Ajo melengkapkan kedudukan tiga teratas.
Dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia, Hakim Danish kini berada di tangga kesembilan dengan mengumpul 116 mata.