AS, Korea Selatan, Jepun tegaskan komitmen penghapusan senjata nuklear Korea Utara

Cho Hyun (kiri), Marco Rubio (tengah) dan Toshimitsu Motegi/ AFP

WASHINGTON, 31 Oktober – Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun menegaskan semula komitmen terhadap usaha penghapusan senjata nuklear sepenuhnya Korea Utara, ketika Pyongyang terus menolak pelucutan senjata menjelang kemungkinan rundingan dengan Washington.

RINGKASAN BERITA AI
  • Spekulasi mengenai kemungkinan pertemuan Trump dan Kim semasa sidang APEC pada November di China semakin hangat.
  • AS, Korea Selatan dan Jepun berikrar melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB, termasuk larangan sokongan kewangan kepada program Korea Utara.
  • Korea Utara mendapat sokongan Rusia dan China dan mengiktiraf status bersenjata nuklear melalui undang-undang, menegaskan persenjataan kekal.
  • Trump beri isyarat kesediaan rundingan, kurangkan latihan ketenteraan bersama, dan mengakui Korea Utara sebagai kuasa nuklear; tiada reaksi Pyongyang.

Spekulasi semakin meningkat berhubung kemungkinan pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November di China.

Trump sebelum ini berulang kali menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan nuklear dengan Pyongyang.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun dan rakan sejawatnya dari Jepun, Toshimitsu Motegi, menegaskan semula komitmen teguh terhadap usaha penghapusan senjata nuklear sepenuhnya Korea Utara dalam pertemuan pada Jumaat.

Pertemuan itu berlangsung di luar mesyuarat Kumpulan 20 (G20) di Atlanta, Georgia, menurut Jabatan Negara AS.

Ketiga-tiga negara turut berikrar memastikan pelaksanaan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), termasuk larangan terhadap sebarang bentuk sokongan kewangan yang boleh menyumbang kepada program nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara.

Walaupun berdepan sekatan PBB sejak sekian lama, Korea Utara yang mendapat sokongan Rusia dan China, telah mengiktiraf statusnya sebagai negara bersenjata nuklear menerusi undang-undang.

Korea Utara berulang kali menegaskan bahawa persenjataan nuklear negara itu bersifat kekal dan tidak boleh ditarik balik.

Bagaimanapun Trump berulang kali menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan nuklear dengan Pyongyang, selain mengurangkan skala latihan ketenteraan bersama Korea Selatan, sekutu Washington.

Presiden AS itu turut menyimpang daripada dasar lama Washington pada 2025 apabila mengakui Korea Utara sudah boleh dianggap sebagai sebuah negara kuasa nuklear.

Beliau turut menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk mengadakan pertemuan dengan Kim, namun cadangan itu tidak mendapat sebarang maklum balas Pyongyang.

Penganalisis dan agensi perisikan Korea Selatan berpendapat Kim mungkin telah menyampaikan pendirian Pyongyang berhubung kemungkinan rundingan dengan Trump kepada Beijing ketika lawatan terbaharunya ke Dandong, sebuah bandar di sempadan China.

Presiden Korea Selatan yang cenderung kepada pendekatan diplomasi, Lee Jae Myung, sebelum ini berulang kali menawarkan rundingan tanpa prasyarat kepada Pyongyang.

Pada September lalu, beliau mencadangkan supaya Washington mempertimbangkan pembekuan program nuklear Korea Utara, berbanding menuntut penghapusan serta-merta, sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan.

Bagaimanapun, pendekatan itu mendapat kritikan kerana dikhuatiri secara tidak langsung mengiktiraf Korea Utara sebagai negara bersenjata nuklear, selain membolehkan Pyongyang menikmati pelonggaran sekatan tanpa perlu menyerahkan persenjataan nuklear.

Penganalisis turut berpendapat China mungkin semakin cenderung menerima status nuklear Korea Utara secara tidak langsung.

Pandangan itu berdasarkan ketiadaan sebarang rujukan mengenai usaha penghapusan senjata nuklear Korea Utara dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan Kim dengan Presiden China, Xi Jinping, pada Jun lalu.

Sementara itu, Korea Utara pada Sabtu mengecam kenyataan bersama sekumpulan negara yang memantau pelaksanaan sekatan terhadap Pyongyang.

Korea Utara menegaskan bahawa sekatan yang disifatkannya sebagai tindakan lazim AS dan negara-negara Barat tidak akan mengubah kedudukannya sebagai sebuah negara bersenjata nuklear.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.