
BEIJING, 31 Oktober – Aktiviti pembuatan China kembali menguncup pada Oktober, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu, meskipun industri berteknologi tinggi terus mencatat pertumbuhan ketika pasaran barangan pengguna semakin lemah.
- PMI pembuatan 49.3, di bawah paras 50 dan lebih rendah daripada unjuran Bloomberg serta bacaan bulan sebelumnya.
- Penurunan aktiviti sebahagiannya disebabkan cuti kebangsaan seminggu dan persekitaran antarabangsa yang kompleks, menurut NBS.
- Sektor berteknologi tinggi berkembang disokong ledakan AI, manakala PMI barangan pengguna merosot 1.9 mata, menandakan permintaan domestik lemah.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan, yang menjadi petunjuk penting tahap kesihatan industri, mencatat 49.3 mata bulan ini, iaitu bawah paras 50 mata yang membezakan antara pertumbuhan dengan penguncupan.
Menurut ahli statistik Biro Perangkaan Kebangsaan China (NBS), Huo Lihui, penurunan aktiviti pembuatan itu sebahagiannya dipengaruhi cuti kebangsaan selama seminggu pada awal bulan, selain persekitaran antarabangsa yang kompleks dan tidak menentu.
Angka yang dikeluarkan NBS itu turut meleset daripada unjuran Bloomberg terhadap ahli ekonomi iaitu 49.9 mata.
Bacaan tersebut juga lebih rendah berbanding 50.1 mata pada September dan 49.8 mata pada Ogos, namun sedikit meningkat berbanding 49.2 mata yang direkodkan pada Julai.
Huo berkata, harga minyak mentah antarabangsa terus meningkat, sekali gus menyebabkan kenaikan harga arang batu, getah dan produk plastik.
Meskipun sektor berteknologi tinggi menunjukkan perkembangan positif yang didorong ledakan kecerdasan buatan (AI), PMI industri barangan pengguna pada Oktober merosot 1.9 mata peratusan berbanding bulan sebelumnya.
Perkembangan itu menunjukkan aktiviti pasaran dalam sektor berkenaan sedikit merosot.
Beijing menyasarkan pertumbuhan tahunan antara 4.5 hingga 5.0 peratus tahun ini, iaitu sasaran terendah dalam tempoh beberapa dekad, ketika permintaan domestik yang lembap terus memberi tekanan terhadap kekuatan eksport negara itu.
Ketua Ahli Ekonomi Pinpoint Asset Management, Zhiwei Zhang berkata, prestasi eksport yang kukuh semata-mata tidak mencukupi untuk merangsang momentum ekonomi negara itu.
“Jika permintaan luar negara melemah pada 2027, China memerlukan sokongan dasar yang lebih ketara bagi merangsang permintaan domestik,” katanya.
Data turut menunjukkan PMI sektor bukan pembuatan, yang mengukur aktiviti dalam sektor lain termasuk perkhidmatan dan pembinaan, mencatat 49.7 mata pada Oktober.
Bacaan itu lebih rendah berbanding unjuran Bloomberg iaitu 50.0 mata yang menunjukkan sedikit merosot daripada 50.2 mata yang direkodkan pada September.
Penurunan itu dipengaruhi beberapa faktor, termasuk kemerosotan tahap aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan tertentu, khususnya sektor kewangan, namun tidak memberikan perincian lanjut.
Beliau turut memaklumkan bahawa aktiviti pembinaan mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.- AFP