Oman selamatkan 25 kelasi kapal diserang di Selat Hormuz

Selat Hormuz/ AFP

MUSCAT, 31 Oktober – Oman berjaya menyelamatkan 25 kelasi daripada sebuah kapal dagang yang terbakar pada Jumaat selepas diserang, ketika Iran melaporkan tiga kapal tangki minyak dihentikan ketika melalui Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tehran mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz sejak 28 Februari selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran.
  • Selat Hormuz adalah laluan sempit bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan kini menjadi tumpuan konflik.
  • CENTCOM berkata pasukan AS membersihkan laluan transit di Selat Hormuz daripada periuk api laut dan kekal di kawasan.
  • IRGC memaklumkan beberapa kapal tangki dihentikan, ada yang meletup atau terkena periuk api ketika melalui laluan tidak dibenarkan.

Tehran mengehadkan pergerakan kapal melalui selat itu sejak konflik Asia Barat tercetus pada 28 Februari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Selat sempit itu, yang lazimnya menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, kini menjadi antara kawasan tumpuan konflik apabila kapal-kapal dilaporkan kerap menjadi sasaran serangan Iran.

Pusat Keselamatan Maritim Oman dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tentera laut negara itu melaksanakan operasi pemindahan 25 kru kapal dagang RITI yang berdaftar bawah bendera Panama, selepas kapal berkenaan diserang sehingga menyebabkan kebakaran.

Kesemua kru diberikan rawatan perubatan, menurut kenyataan itu tanpa memperincikan keadaan mereka. Laman sesawang pengesanan kapal, Marine Traffic, menyifatkan RITI sebagai sebuah kapal tangki minyak mentah.

Ketua Pemerintahan AS (CENTCOM), Brad Cooper, dalam satu video yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, pasukan AS berjaya membersihkan laluan transit utama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Selat Hormuz daripada periuk api laut yang dipasang Iran.

Beliau berkata, pasukan AS kekal berada di kawasan itu bagi memastikan semua laluan transit utama di Selat Hormuz bebas daripada ancaman berkenaan.

Cooper turut memaklumkan bahawa beliau mengunjungi sebahagian daripada lebih 50,000 anggota tentera AS yang ditempatkan di rantau itu.

Beliau mengulangi kenyataan terdahulu bahawa Washington membantu negara-negara Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong minyak mentah melalui selat berkenaan sejak musim panas lalu.

Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, pula memaklumkan sebuah kapal yang berada kira-kira 40 batu nautika (74 kilometer) di selatan Pulau Lavan, Iran, diserang objek tidak dikenali pada Jumaat sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal.

“Kru kapal dilaporkan selamat dan setakat ini tiada kesan terhadap alam sekitar dilaporkan,” menurut UKMTO menerusi platform X.

Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan bahawa tiga kapal tangki minyak dihentikan selepas berdepan insiden yang tidak diperincikan atau terkena periuk api.

“Dua kapal tangki minyak yang didakwa melanggar peraturan, masing-masing di bahagian timur dan barat Selat Hormuz, cuba melalui laluan yang tidak dibenarkan sebelum berdepan insiden dan dihentikan di perairan selatan selat itu,” menurut kenyataan IRGC.

Iran sebelum ini mengarahkan kapal-kapal menggunakan laluan yang ditetapkan ketika melalui selat berkenaan serta menyelaraskan pergerakan dengan angkatan tenteranya.

Negara itu menganggap koridor selatan yang lebih hampir dengan perairan Oman sebagai laluan tidak dibenarkan.

Menurut kenyataan IRGC, kapal-kapal berkenaan mematikan semua sistem navigasi sebelum cuba keluar melalui laluan yang tidak dibenarkan dengan sokongan tentera AS yang disifatkan sebagai pengganas oleh Tehran.

Bagaimanapun, IRGC tidak memperincikan jenis insiden yang dihadapi kapal-kapal berkenaan.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas angkatan tentera Iran memaklumkan sekurang-kurangnya empat kapal tangki minyak berhenti di kawasan berkenaan selepas terkena periuk api.

IRGC memaklumkan, insiden pada Jumaat berlaku selepas kapal-kapal berkenaan menerima beberapa amaran menerusi radio tetapi tidak mengendahkannya.

Dalam kenyataan berasingan, IRGC memaklumkan sebuah kapal tangki minyak bersaiz sangat besar yang membawa dua juta tong minyak berhenti selepas berlaku letupan akibat terkena periuk api ketika melalui laluan yang tidak dibenarkan di Selat Hormuz.

“Ini merupakan kapal tangki minyak ketiga yang meletup dan terbakar hari ini akibat cubaan melalui laluan yang tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

AS bertindak balas terhadap sekatan Iran di Selat Hormuz dengan mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran, sekali gus mengehadkan lagi keupayaan Tehran mengeksport minyak dan menjalankan aktiviti perdagangan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.