
MACHAP JAYA, 31 Oktober – Seramai 1,159 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka digerakkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
- Tugasan PDRM diselaraskan mengikut keperluan operasi, termasuk tempoh berkempen 14 hari.
- Proses penamaan calon di 28 pusat untuk 28 kerusi DUN berlangsung aman, lancar dan terkawal.
- Semua calon, parti dan penyokong diingatkan mematuhi undang-undang serta peraturan SPR.
- PDRM memantau penyalahgunaan media sosial, berita palsu, fitnah dan hasutan; akan bertindak profesional, adil dan berkecuali.
Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kekuatan itu melibatkan 511 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 378 anggota IPD Alor Gajah dan 270 anggota IPD Jasin.
Menurutnya, penugasan anggota akan terus diselaraskan mengikut keperluan operasi sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk 14 hari tempoh berkempen.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Hari Penamaan Calon PRN Melaka Ke-16, hari ini.
Mengulas proses penamaan calon, beliau berkata, keseluruhan proses di 28 pusat penamaan calon yang melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam kawasan Parlimen berlangsung dalam keadaan aman, lancar dan terkawal.
Katanya, tiada sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan sepanjang proses berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau turut memberi amaran supaya semua pihak mengelakkan sebarang bentuk provokasi atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang tempoh berkempen.
Selain itu, PDRM akan terus memantau penyalahgunaan media sosial, termasuk penyebaran berita palsu, fitnah dan hasutan serta kandungan yang menyentuh isu sensitiviti kaum dan boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Dzulkhairi menegaskan PDRM akan bertindak secara profesional, adil dan berkecuali serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Beliau berharap semua pihak dapat mengamalkan sikap matang, bertanggungjawab dan saling menghormati bagi memastikan PRN Melaka Ke-16 berlangsung dalam suasana aman, selamat dan terkawal.