Doktor didakwa palsukan surat pendaftaran farmasi

Facebook: Polis Daerah Raub

RAUB, 30 Oktober- Seorang doktor didakwa memalsukan surat berkaitan pendaftaran farmasi am bagi urusan pengoperasian sebuah farmasi di Pusat Bandar Putra, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan penguat kuasa farmasi pada 21 Mac 2026 mendapati premis menjual ubat tanpa lesen atau kebenaran KKM.
  • Siasatan menunjukkan surat kebenaran pendaftaran farmasi yang dikemukakan suspek adalah palsu.
  • Semakan KKM mengesahkan tiada permohonan atau jawapan bertulis dikeluarkan berkaitan kebenaran operasi premis.
  • Polis menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum meneruskan sebarang urusan berkaitan kebenaran khas.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abd Rahman berkata pemalsuan itu terbongkar selepas pemeriksaan oleh sepasukan penguat kuasa farmasi negeri di premis berkenaan pada 21 Mac 2026 mendapati perniagaan ubat-ubatan itu tidak mempunyai lesen atau kebenaran sah daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, mangsa mula berhubung dengan suspek pada awal 2022 bagi membuka perniagaan farmasi itu sebelum premis berkenaan dibuka secara rasmi pada 2 September tahun sama.

“Siasatan mendapati surat berkaitan kebenaran pendaftaran farmasi am yang dikemukakan suspek adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan dengan KKM mendapati tiada permohonan dikemukakan oleh suspek dan tiada jawapan bertulis dikeluarkan kementerian berhubung kebenaran menjual ubat-ubatan di premis berkenaan.

Lelaki itu yang mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan dibenarkan diikat jamin oleh Hakim Mahkamah Sesyen Raub dengan jaminan RM12,000 serta seorang penjamin.

Superintenden Mohd. Shahril berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tempoh tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan urusan yang mendakwa mendapat kebenaran khas daripada kementerian atau agensi kerajaan, sebaliknya membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum meneruskan sebarang urusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.