
Nanning, 30 Oktober – Malaysia terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China menerusi penganjuran program Hari Malaysia yang mengetengahkan potensi perdagangan, pelancongan dan keunikan budaya negara.
- Program 'Malaysia Day: A Symphony of Culture, Trade and Flavours' menjadi platform promosi budaya, ekonomi, pelancongan dan sajian Malaysia.
- Penganjuran program mencerminkan komitmen Malaysia memperkukuh hubungan dengan Guangxi dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan budaya.
- MATRADE membentangkan keupayaan eksport dan peluang kerjasama komersial; Tourism Malaysia promosikan destinasi pelancongan serta pengalaman kulinari.
- Acara memaparkan tarian tradisional, persembahan lagu dan puisi, pameran batik serta sajian popular termasuk demonstrasi penyediaan pankek durian.
Menurut kenyataan Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning, program ‘Malaysia Day: A Symphony of Culture, Trade and Flavours’ itu berlangsung pada 29 Oktober 2026 di Na Lotus Hotel, Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China.
“Program bertemakan Symphony of Culture, Trade and Flavours itu merupakan platform promosi bersepadu untuk memperkenalkan kekayaan warisan budaya, kekuatan ekonomi, tarikan pelancongan serta keunikan sajian Malaysia kepada masyarakat Guangxi,” menurut kenyataan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Majlis China bagi Penggalakan Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) Jawatankuasa Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Yang Yanyan sebagai tetamu kehormat, selain pegawai kanan kerajaan, wakil institusi akademik, komuniti perniagaan, pelajar universiti dan media tempatan.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut membentangkan keupayaan eksport negara serta peluang kerjasama komersial, manakala Tourism Malaysia mempromosikan kepelbagaian destinasi pelancongan dan pengalaman kulinari Malaysia.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional oleh Akarseni Malaysia Entertainment serta persembahan lagu dan puisi dalam bahasa Melayu oleh pelajar Universiti Guangxi Minzu.
Selain pameran seni batik dan produk tempatan termasuk sarang burung, para tetamu turut disajikan dengan hidangan popular Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, sate dan teh tarik, selain demonstrasi penyediaan pankek durian secara langsung.
“Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Guangxi, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran budaya,” menurut kenyataan.