Jawatan kosong tular di WhatsApp palsu – FELDA

FELDA menafikan iklan yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menafikan iklan “Jawatan Kosong Malaysia 2026 – FELDA” yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial, sekali gus menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap kemungkinan penipuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tawaran jawatan, kadar gaji dan kod QR dalam iklan itu tidak ada kaitan dengan FELDA.
  • Jangan imbas kod QR, buka pautan atau serahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak disahkan.
  • Rujuk hanya saluran rasmi FELDA untuk pengambilan pekerja; FELDA tidak bertanggungjawab atas kerugian akibat maklumat palsu.

Dalam kenyataan hari ini, FELDA mengesahkan iklan berkenaan adalah palsu dan bukan dikeluarkan oleh agensi itu.

“Tawaran jawatan, kadar gaji serta kod QR yang dipaparkan dalam iklan berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan FELDA,” menurut kenyataan itu.

FELDA turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengimbas kod QR, mengakses pautan yang disertakan atau menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dapat disahkan kesahihannya bagi mengelakkan risiko penipuan dan penyalahgunaan data.

Menurut kenyataan itu, FELDA memandang serius penyalahgunaan nama, logo dan identiti organisasi bagi menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Sebarang maklumat berkaitan pengambilan pekerja FELDA hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi FELDA,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, orang ramai diminta merujuk saluran rasmi FELDA sebelum mengambil sebarang tindakan atau membuat urusan berkaitan tawaran pekerjaan yang menggunakan nama agensi berkenaan.

“FELDA tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian atau implikasi yang timbul akibat urusan yang dibuat berdasarkan maklumat palsu atau tidak sahih,” menurut kenyataan.

Orang ramai juga diminta supaya tidak menyebarkan kandungan yang meragukan serta sentiasa merujuk platform rasmi FELDA bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.