Tren KTM dibaling objek: KTMB keluarkan amaran keras kepada pelaku vandalisme

Foto tular insiden cermin tingkap pecah melibatkan tren komuter bagi laluan Padang Besar-Butterworth.

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan insiden cermin tingkap pecah melibatkan tren komuter bagi laluan Padang Besar-Butterworth yang tular di media sosial semalam adalah berpunca daripada perbuatan vandalisme.

RINGKASAN BERITA AI
  • Koc terjejas dikosongkan dan akses penumpang dihadkan segera untuk langkah keselamatan.
  • Anggota Polis Bantuan KTMB digerakkan pantas untuk kawal pergerakan penumpang dan keadaan koc.
  • Tren meneruskan perjalanan selepas 21 minit kelewatan; set tren ditahan di depoh untuk pemeriksaan dan tukar tingkap.
  • KTMB ingatkan balingan objek jenayah serius mengikut Seksyen 132 dan kerosakan harta di bawah Seksyen 128 Akta 715.

Kenyataan KTMB menyatakan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang apabila tren berkenaan dipercayai dibaling objek tidak dikenali dari luar ketika bergerak melalui laluan di antara Arau, Perlis dan Kodiang, Kedah.

“Implikasi balingan itu menyebabkan cermin tingkap di bahagian kiri koc kedua pecah.

“Sejurus menerima laporan daripada pemandu tren, pihak KTMB mengambil tindakan serta-merta dengan mengosongkan koc yang terjejas serta mengehadkan akses penumpang sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, anggota Polis Bantuan KTMB turut digerakkan dengan pantas bagi mengawal pergerakan penumpang di samping memastikan keadaan persekitaran koc terkawal.

“Selepas kawalan keselamatan selesai dijalankan, tren meneruskan perjalanan pada pukul 6.21 petang dengan mengalami kelewatan kira-kira 21 minit daripada jadual asal.

“Set tren yang terlibat telah ditahan di Depoh Bukit Tengah bagi menjalani pemeriksaan serta kerja penukaran tingkap yang rosak sebelum dikembalikan untuk perkhidmatan penumpang pada hari berikutnya.

“Laporan polis juga dibuat bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil pihak berkuasa,” jelas kenyataan rasmi KTMB hari ini.

Pihak KTMB menegaskan bahawa mereka memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Balingan objek atau batu ke arah tren yang sedang bergerak bukan sahaja merosakkan harta benda awam, malah berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa penumpang serta kakitangan yang bertugas.

“Perbuatan melontar batu atau objek membahayakan kereta api merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 132, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000, atau hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Selain itu, kes kerosakan harta benda kereta api secara sengaja atau cuai turut terikat di bawah Seksyen 128 Akta 715, yang membawa hukuman denda berasingan bermula RM1,000 sehingga RM5,000 dan hukuman penjara sehingga 3 tahun mengikut jenis kesalahan yang disabitkan.

KTMB menyeru orang ramai agar sentiasa bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat atau melaporkan aktiviti mencurigakan di sekeliling kawasan landasan demi memastikan keselamatan perkhidmatan kereta api negara kekal terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.