Belanjawan 2027: RM47.7 bilion perkasa perkhidmatan kesihatan awam


Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM, Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Peruntukan RM47.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam, termasuk mengurangkan waktu menunggu pesakit dan menaik taraf fasiliti sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM41 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM6.75 bilion bagi pembangunan kementerian.
  • RM1 bilion diperuntukkan untuk pendigitalan ICT dan pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik di klinik kesihatan.
  • RM200 juta disediakan untuk membiayai rawatan terpilih di hospital swasta; lebih 51,000 pesakit telah mendapat manfaat sejak 2024.
  • Tujuh fasiliti baharu dirancang, pendigitalan lebih 1,300 klinik dan penyusunan semula penjagaan primer bagi pengagihan petugas lebih efisien.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM, Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah berkata, daripada jumlah itu, RM41 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM6.75 bilion untuk pembangunan.

Peruntukan pembangunan akan menyokong pelaksanaan projek fasiliti baharu serta menaik taraf infrastruktur dan peralatan kesihatan yang uzur.

“Kita juga sedang melaksanakan pendigitalan perkhidmatan dengan peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik-klinik kesihatan, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Melalui usaha pendigitalan klinik kesihatan dan hospital ini, penyampaian perkhidmatan dijangka menjadi lebih pantas, sekali gus mengurangkan waktu menunggu pesakit,” katanya.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan hospital kerajaan, sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan terpilih di hospital swasta.

Sejak inisiatif itu dilaksanakan pada 2024, lebih 51,000 pesakit dilaporkan mendapat manfaat.

Bagi 2027, tujuh fasiliti kesihatan baharu dirancang untuk dibina, selain pendigitalan lebih 1,300 klinik kesihatan.

“Di peringkat KKM, melalui program kesihatan awam, kita sedang menyusun semula perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, termasuk di klinik kesihatan dan klinik desa, bagi memastikan petugas kesihatan dapat diagihkan ke lokasi yang lebih memerlukan.

“Usaha ini bertujuan memastikan rakyat di seluruh negara mendapat akses kepada rawatan kesihatan primer yang lebih menyeluruh, khususnya melalui perkhidmatan klinik kesihatan,” tambah beliau.

Datuk Seri Zahrul Hakim berkata, keberkesanan peruntukan itu akan dinilai berdasarkan manfaat yang dirasai rakyat, khususnya dari segi pengurangan waktu menunggu, penambahbaikan kemudahan dan peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan.

Beliau berharap peruntukan berkenaan dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan awam, selaras dengan keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.