
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Mesyuarat peringkat Exco bagi membincangkan perkembangan ekonomi kreatif di negeri masing-masing dijangka diadakan pada minggu ketiga atau sebelum penghujung November.
- Fahmi bentangkan nota kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk tubuh jawatankuasa kerja melibatkan Exco serta menteri negeri.
- Inisiatif itu bertujuan mendapat maklum balas, pandangan dan cadangan Exco serta menteri negeri mengenai ekonomi kreatif.
- Potensi diketengahkan termasuk lokasi penggambaran, produk kraftangan, kumpulan kebudayaan dan pasukan animasi memerlukan sokongan.
- Majlis Ekonomi Jingga ditubuhkan Julai lalu, diuruskan Pejabat Perdana Menteri dengan beberapa kementerian untuk kukuhkan ekonomi kreatif.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau telah membentangkan nota kepada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi memaklumkan hasrat menubuhkan jawatankuasa kerja yang melibatkan Exco serta menteri-menteri negeri.
“Kita menjangkakan mesyuarat peringkat Exco akan diadakan pada minggu ketiga atau sebelum penghujung November. Ini penting bagi mendapatkan maklum balas, pandangan dan cadangan daripada Exco serta menteri negeri mengenai ekonomi kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di ibu negara, hari ini.
Antara potensi yang boleh diketengahkan termasuk lokasi penggambaran filem, produk kraftangan, kumpulan kebudayaan serta pasukan animasi yang memerlukan sokongan untuk berkembang di negeri masing-masing.
Datuk Seri Fahmi berkata, Majlis Ekonomi Jingga dijangka mengadakan mesyuarat semula pada suku pertama tahun depan bagi membincangkan perkembangan ekonomi kreatif negara.
Majlis itu ditubuhkan pada Julai lalu dan diuruskan oleh Pejabat Perdana Menteri dengan keanggotaan melibatkan beberapa kementerian bagi memperkukuh pembangunan ekonomi kreatif negara.