Dana Inovasi Media 2.0: RM30 juta diperuntuk

Foto RTM

PUTRAJAYA, 30 Oktober – Kerajaan meneruskan inisiatif Dana Inovasi Media menerusi pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan RM30 juta bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing industri media tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat skop pembiayaan sedia ada dikekalkan; satu skop baharu ditambah, menjadikan lima skop keseluruhan.
  • Permohonan dibuka mulai hari ini; borang dan maklumat boleh dimuat turun di andainovasimedia.komunikasi.gov.my.
  • Inisiatif sebelum ini memberi manfaat kepada 72 syarikat media menerusi pelaksanaan pelbagai projek.
  • Pelaksanaan mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa industri media melalui inovasi, pendigitalan, pembangunan bakat dan penggunaan teknologi termasuk AI.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, empat skop pembiayaan sedia ada dikekalkan, dengan penambahan satu skop baharu menjadikan keseluruhannya lima skop pembiayaan.

Menurut beliau, permohonan dana itu dibuka mulai hari ini dan maklumat lanjut termasuk borang permohonan boleh diperoleh menerusi laman web danainovasimedia.komunikasi.gov.my.

“Jumlah yang kita sediakan bagi Dana Inovasi Media 2.0 ialah sebanyak RM30 juta. Untuk maklumat lanjut serta borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman web danainovasimedia.komunikasi.gov.my dan boleh dilaksanakan mulai hari ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini.

Jelas beliau, inisiatif itu merupakan kesinambungan dana yang diumumkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lalu, yang menyaksikan 72 syarikat media menerima manfaat daripada peruntukan RM30 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif.

Pembiayaan sebelum ini merangkumi usaha transformasi, latihan, pengukuhan operasi serta penerokaan pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan.

Katanya, pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa industri media, khususnya menerusi inovasi, pendigitalan, pembangunan bakat serta penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.