TCC 2026 perkukuh wacana kedaulatan undang-undang

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merangkap Canselor UKM berkenan menyampaikan cenderahati kepada Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Tuanku Canselor 2026

BANGI, 28 Oktober – Seramai 121 pembentang dari seluruh dunia berhimpun pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Tuanku Canselor (TCC) 2026 bagi membincangkan usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik di peringkat ASEAN serta antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persidangan bertema kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik mengukuhkan asas institusi telus, berdaya tahan dan mendapat kepercayaan.
  • Menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran bagi meneroka pendekatan memperkukuh kedaulatan undang-undang serta tadbir urus baik menghadapi cabaran global.
  • Inisiatif persidangan selaras dengan TEKAD 57, menyokong usaha membentuk Malaysia maju, berprinsip dan aman menjelang 2057.

Persidangan dua hari anjuran Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang juga Canselor UKM di sebuah hotel, di sini.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, persidangan bertemakan ‘Kedaulatan Undang-undang dan Tadbir Urus Baik di ASEAN dan Peringkat Antarabangsa’ itu meneruskan legasi kecemerlangan akademik yang bermula pada 2007.

“Ia menekankan kepentingan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik sebagai asas dalam membentuk institusi yang telus, berdaya tahan dan mendapat kepercayaan, merangkumi sektor awam dan swasta.

“Selain itu, persidangan ini menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam bidang perundangan serta meneroka pendekatan terbaik bagi memperkukuh kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik dalam mendepani cabaran global,” katanya.

Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi TEKAD 57, pelan strategik UKM untuk membentuk Malaysia yang maju, berprinsip dan aman menjelang 2057, bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-100.

Turut berangkat, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Hadir sama Pro-Canselor UKM Tan Sri Dr. Rafiah Salim, Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki dan Duta Filipina ke Malaysia Maria Angela A. Ponce.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.